Majlis Ulama Indonesia (MUI) akan mengambil tindakan terhadap Istibsyaroh, Ketua Jawatankuasa Perempuan, Remaja dan Keluarga MUI, yang disahkan mengunjungi Presiden Israel Reuven Rivlin di Tel Aviv pada minggu lepas.

Media-media tempatan hari ini memetik Timbalan Ketua Umum MUI Zainut Tauhid sebagai berkata tindakan itu mungkin berupa teguran tegas atau dilucutkan jawatan pengurusan kerana perbuatan Istibsyaroh itu bercanggah dengan pendirian MUI dan kerajaan Republik Indonesia.

Katanya, MUI akan mengadakan mesyuarat pada Selasa depan bagi membincangkan tindakan terhadap Istibsyaroh kerana MUI sememangnya melarang semua anggota jawatankuasanya menghadiri sebarang acara atau undangan dari pejabat Israel.

"Larangan tersebut berlaku tanpa syarat. Jika ada yang melanggar, MUI akan mengevaluasi jawatankuasa yang melanggar tersebut dan jika terbukti bersalah akan dikenakan hukuman," katanya.

Media-media tempatan baru-baru ini mendedahkan sekumpulan tujuh orang Islam dari Indonesia, termasuk Istibsyaroh, telah mengunjungi Rivlin di rumah presiden itu di Tel Aviv pada 18 Januari lepas.

Indonesia seperti negara-negara Islam lain, tidak mempunyai hubungan diplomatik dengan Israel dan mengutuk rejim negara itu kerana menceroboh Palestin.

Zainut berkata, MUI tidak terikat dengan semua hasil pembincangan antara Istibsyaroh dengan Presiden Israel itu dan tidak memiliki tanggungjawab dengan peristiwa pertemuan itu.

"MUI tetap berkomitmen untuk membantu rakyat Palestin melepaskan diri daripada cengkaman zionis Israel dan menjadi sebuah negara merdeka dan berdaulat," katanya.

Sementara itu Istibsyaroh yang juga Dekan Ilmu Tafsir Universitas Islam Negeri Sunan Ampel Surabaya, dipetik sebagai berkata, lawatannya ke Israel adalah atas kapasiti peribadi dan dibawa oleh seorang teman lamanya yang juga pengurus Dewan Hubungan Australia/Israel dan Yahudi (AIJAC).

Katanya rombongan itu berangkat pada 11 Januari dan mereka dibawa ziarah ke Masjidil Aqsa sebelum dibawa masuk ke Israel, dan mereka tidak mengetahui terdapat acara kunjungan hormat kepada Presiden Israel.

Kunjungan hormat rombongan itu kepada Presiden Israel telah disiarkan dalam laman sesawang Kementerian Luar Negeri Israel.

-- BERNAMA