Seorang lelaki maut selepas dipercayai menembak dirinya sendiri di luar pekarangan White House sebentar tadi.

Agensi Perkhidmatan Rahsia Amerika Syarikat di akaun Twitternya mengesahkan tiada kecederaan atau mangsa lain yang terlibat dalam insiden tersebut.

Menurut jurucakap agensi berkenaan, lelaki bersenjatakan pistol itu pada mulanya dilihat mendekati pagar sebelum mengeluarkan senjata dan melepaskan beberapa das tembakan.

Tembakan, walau bagaimanapun, tidak disasarkan ke bangunan White House.

Beberapa saksi lain menyebut bahawa lelaki itu menembak telefonnya sebelum menembak dirinya sendiri.

Tiada sebarang nota bunuh diri dijumpai, namun sebuah buku dengan ayat yang sukar difahami ditemukan di lokasi kejadian, lapor CNN.

Setiausaha Akhbar White House pula mengesahkan Presiden Donald Trump tiada di kediaman rasmi itu kerana berada di Florida.