Cubaan seorang lelaki untuk merakam gambar selfie bersama sepucuk pistol bertukar menjadi tragedi apabila pistol yang diisi dengan peluru itu meledak dengan tidak sengaja.

Lapor sebuah akhbar Mexico, Excelsior, mangsa dikenali sebagai Oscar Otero Aguilar yang berusia 21 tahun dari Mexico City.

Ketika kejadian, dia dilaporkan sedang minum bersama rakan-rakan. Aguilar mengambil sepucuk pistol untuk tujuan merakam selfie untuk dimuat naik di laman sosial Facebook.

Pistol itu tiba-tiba meledak dan sebutir peluru terkena bahagian kepala Aguilar. Dia mati di tempat kejadian.

Polis tempatan masih menyiasat kematian Aguilar dan seorang rakannya telah ditahan untuk tujuan itu.