Seorang lelaki berusia 50 tahun yang memakai baju T mempersenda 96 penyokong Liverpool yang maut dalam tragedi Hillsborough telah disaman sejumlah £600 (RM3,100).

Paul Grange mengaku bersalah di Mahkamah Majistret Worcester, dengan menambah dia menyesali perbuatannya itu dan layak kehilangan rumah, kerja, teman-teman dan perhubungan.

Tragedi Hillsborough merujuk kepada insiden bersesak dan berhimpit di stadium bola sepak di Sheffield, England pada 15 April 1989 hingga mengorbankan 96 orang dan 766 lagi cedera. Ia merupakan tragedi paling buruk dalam sejarah sukan British.

Grange yang mengaku bersalah memaparkan tulisan yang mencela hingga menyebabkan rasa tidak puas hati, telah diperintah untuk membayar surcaj mangsa berjumlah £60 (RM310) dan kos £135 (RM699).

Dia yang tidak diwakili peguam memberitahu hakim bahawa dia menyedari telah melukakan pihak tertentu kerana slogan yang tertera pada baju-T yang dipakainya, yang menyifatkan tragedi Hillsborough sebagai ‘bantuan Tuhan' kepada syarikat kawalan haiwan perosak.

Imej pada baju T yang dipakai Grange sewaktu mengunjungi sebuah acara minum pada 29 Mei lalu telah mencetuskan kemarahan di media sosial.

“Baju T itu sepatutnya (gurauan) dalam kalangan kawan-kawan, namun ia telah menjadi perhatian umum dan saya tidak sedar ia telah melukakan hati banyak pihak.

“Oleh kerana tindakan saya itu, saya kehilangan rumah, kerja, kawan-kawan, keluarga dan perhubungan. Dan saya layak menerimanya,” ujarnya.