SEORANG lelaki telah diberkas di luar Istana Buckingham pada Jumaat malam kerana dilaporkan telah memandu ke arah van polis dan mengeluarkan pedang sepanjang empat kaki, lapor The New York Times.

Media tempatan juga melaporkan, lelaki berkenaan melaungkan kalimah 'Allahu Akbar' berulang kali sewaktu bergelut dengan anggota polis yang cuba memberkas dan menggarinya.

Dalam satu kenyataan polis London pada Sabtu, ketika kereta yang dipandu oleh lelaki itu menghampiri kawasan berkenaan, tiga pegawai tidak bersenjata melangkah keluar dari van polis dan bertindak menyembur gas pemedih mata.

Polis mengenal pasti lelaki itu berasal dari Luton iaitu 30 kilometer dari barat laut London dan berusia 26 tahun.

“Siasatan akan melihat sama ada serangan itu adalah serangan pengganas. Kami percaya setakat ini penceroboh berkenaan bertindak sendiri,” kata polis.

Kejadian itu menyebabkan dua pegawai polis menerima luka ringan dan telah dibawa ke hospital berdekatan untuk rawatan.

Britain telah mengalami beberapa serangan berkaitan keganasan tahun ini, termasuk serangan maut pada Jun lalu.