JOHANNESBURG: Perluasan keanggotaan BRICS dijangka akan menjadi satu daripada topik hangat dalam Sidang Kemuncak BRICS ke-15 yang dijadual berlangsung selama tiga hari mulai Selasa, di sini.

Difahamkan, lebih 40 negara telah menzahirkan hasrat untuk menganggotai BRICS, dengan 20 daripadanya sudah mengemukakan permohonan secara rasmi.

Menurut Duta Khas Afrika Selatan untuk hal ehwal BRICS, Sherpa Anil Sooklal, ketika diwawancara Kumpulan Media China (CMG), peningkatan jumlah negara yang mahu menganggotai BRICS adalah bukti keyakinan masyarakat antarabangsa terhadap keupayaan pimpinan negara-negara BRICS dalam menyelesaikan isu global.

Memetik data Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF), nisbah Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) negara-negara BRICS dalam keseluruhan global meningkat daripada 8.4 peratus kepada 25.8 peratus dari 2001 hingga 2022.

Sementara itu, dalam tempoh sama, nisbah KDNK G7 pula menyaksikan penurunan daripada 64.6 peratus kepada 42.9 peratus.

Pada Jun tahun lalu, Sidang Kemuncak BRICS ke-14 di Beijing telah meluluskan dokumen-dokumen seperti Inisiatif BRICS mengenai Perdagangan, Pelaburan dan Pembangunan Mampan, Inisiatif BRICS mengenai Bekerjasama Mengukuhkan Rantaian Bekalan, serta Deklarasi Beijing yang turut menggariskan hala tuju kerjasama BRICS pada era baharu.

Pada tahun 2022 juga, China telah menganjurkan lebih 170 aktiviti berkaitan yang turut membuahkan 40 hasil penting.

Data IMF menunjukkan, jumlah perdagangan barangan lima negara BRICS meningkat sebanyak 7.8 peratus pada tahun ke tahun dengan menokok kira-kira US$9.2 trilion (RM42.76 trilion) pada 2022.

Dari sudut pecahan, jumlah perdagangan barangan antara lima negara terbabit mencatat US$1.14 trilion (RM5.29 trilion) yang menyaksikan peningkatan sebanyak 13.3 peratus berbanding tahun terdahulu.

Sejak model kerjasama "BRICS+" yang dicadangkan pada Sidang Kemuncak BRICS di Xiamen China pada 2017 hingga inisiatif "Mulakan Proses Pengembangan BRICS" yang dikemukakan pada Sidang Kemuncak BRICS di Beijing pada 2022, mekanisme kerjasama baharu ini menantikan keanggotaan lebih ramai rakan kongsi dengan aspirasi yang sama, serta menginginkan pembangunan dan kerjasama dalam lingkungan yang lebih luas.

Penganalisis berpendapat, perluasan keanggotan BRICS adalah kondusif bagi meningkatkan lagi hak bersuara dan prestasi negara-negara membangun dalam mekanisme antarabangsa.

-- BERNAMA