MOSCOW: Lebih 20 orang terbunuh dan 42 dimasukkan ke hospital dengan luka tembakan ketika polis bertembung dengan penunjuk perasaan di Dhaka dan bandar lain di seluruh Bangladesh, yang Internet mudah alih terputus, lapor Sputnik memetik media Bangladesh pada Ahad.

Protes terhadap sistem kuota kerajaan Bangladesh untuk pekerjaan awam meningkat minggu lepas berikutan pertembungan ganas di Universiti Dhaka. Penunjuk perasaan menuntut penamatan sistem kuota, yang menyediakan 30 peratus jawatan kerajaan untuk ahli keluarga veteran perang 1971. Mereka mendakwa diskriminasi dan pilih kasih terhadap penyokong Perdana Menteri Sheikh Hasina, yang partinya memimpin gerakan kemerdekaan.

Di banyak tempat yang perhimpunan dan bentuk protes lain berlaku, ramai penunjuk perasaan melaungkan slogan yang menggesa kerajaan meletak jawatan, lapor akhbar Bangladesh Daily Star. Pengendali mudah alih telah menerima arahan daripada pengawal selia kerajaan untuk menutup Internet mudah alih dan aplikasi, menurut laporan itu.

Pada 19 Julai, Bangladesh mengenakan perintah berkurung di seluruh negara untuk menghentikan keganasan selepas lebih 100 orang terbunuh dan sekurang-kurangnya 300 pegawai polis cedera.

Pada akhir Julai, Zaved Akhtar, presiden Dewan Perniagaan dan Perindustrian Pelabur Asing (FICCI), berkata bahawa ekonomi Bangladesh telah kehilangan US$10 bilion akibat protes pelajar, perintah berkurung dan gangguan komunikasi.

-- BERNAMA