GAZA: Kementerian Pendidikan berkata lebih daripada 15,000 kanak-kanak Palestin terbunuh sejak Israel mula menyerang Semenanjung Gaza, lapor Agensi Berita dan Penerangan Palestin (WAFA).

Majoriti daripada mereka adalah pelajar sekolah dan murid-murid tadika, selain daripada 64 pelajar dari sekolah di Tebing Barat, termasuk Baitulmaqdis.

Kementerian itu berkata dalam satu kenyataan pada "International Day of Innocent Child Victims of Aggression" yang jatuh pada 4 Jun, tema yang paling ketara untuk hari ini ialah "Kanak-kanak Gaza" kerana mereka adalah mangsa terbesar dalam serangan sejak 7 Okt.

Ia berkata serangan Israel memusnahkan sekolah dan tadika serta secara khususnya menyasarkan orang awam dengan kanak-kanak, membunuh mereka, memaksa meninggalkan mereka, menahan mereka, membiarkan mereka tanpa makanan dan perkhidmatan kesihatan dan pencabulan lain yang serius, merupakan jenayah yang melampaui norma, piagam dan sistem hak asasi manusia.

Kementerian itu berkata sejak permulaan serangan di Semenanjung Gaza, 620,000 pelajar tidak bersekolah, 88,000 penuntut tidak dapat ke universiti sementara kebanyakan mereka menderita trauma psikologi dan keadaan kesihatan yang sukar.

Ia menggesa organisasi dan institusi antarabangsa mempertahankan kanak-kanak dan hak mereka untuk pendidikan bagi menamatkan peningkatan pencabulan dan menghentikan jenayah yang dilakukan oleh tentera Israel terhadap murid-murid.

Kementerian itu menggesa kepada campur tangan segera untuk menghentikan serangan ke atas Gaza dan serangan tentera dan peneroka di Tebing Barat.

-- BERNAMA