Antara lain, ia bagi menghalang undang-undang yang memaksa penjualan aplikasi video pendek itu sebelum 19 Januari atau berdepan larangan atas alasan keselamatan negara.
Barisan hakim belum mengambil tindakan segera terhadap permintaan kecemasan TikTok, ByteDance dan beberapa pengguna platform itu untuk mendapatkan injunksi menghentikan larangan tersebut.
Sebaliknya, mahkamah akan mendengar hujah pihak mereka pada 10 Januari.
TikTok dan ByteDance merayu keputusan mahkamah rendah yang menyokong undang-undang tersebut.
TikTok, yang digunakan oleh kira-kira 170 juta rakyat AS, mendakwa undang-undang itu melanggar perlindungan kebebasan bersuara di bawah pindaan pertama perlembagaan AS.
Kongres meluluskan undang-undang ini pada April dan Presiden Joe Biden menandatanganinya.
Jabatan Kehakiman berkata, TikTok, sebagai syarikat China, menimbulkan "ancaman keselamatan negara yang mendalam" kerana aksesnya kepada data pengguna AS, termasuk lokasi dan mesej peribadi, serta kemampuannya untuk memanipulasi kandungan secara rahsia.
TikTok menafikan ia memberikan ancaman segera kepada keselamatan AS.
TikTok pada Rabu menyatakan bahawa ia berpuas hati kerana mahkamah akan mendengar isu tersebut.
Pertikaian ini berlaku di tengah-tengah ketegangan perdagangan antara dua ekonomi terbesar dunia selepas pentadbiran Biden mengenakan sekatan baharu ke atas industri cip China, dan China bertindak balas dengan melarang eksport logam penting ke AS.