MIYAZAKI (Jepun): Lapangan Terbang Miyazaki di barat daya Jepun kembali beroperasi pada pagi Khamis, sehari selepas letupan bom lama di jalan rayap (taxiway) menyebabkan lebih 80 penerbangan terpaksa dibatalkan, lapor Agensi Berita Kyodo.

Letupan berlaku beberapa minit sebelum 8 pagi Rabu dan tiada kecederaan dilaporkan.

Pasukan Pertahanan Diri Darat Jepun mengesahkan bahawa letupan berpunca daripada bom seberat 250 kilogram dari Perang Dunia Kedua dan pihaknya sedang menyiasat punca ia meletup.

Kerja-kerja pembaikan diselesaikan selepas lubang berdiameter tujuh meter dan sedalam satu meter ditemukan di jalan rayap.

Penerbangan pertama sejak lapangan terbang itu ditutup pada Rabu adalah penerbangan Japan Airlines ke Fukuoka yang berlepas sekitar 7.40 pagi waktu tempatan.

Menurut pejabat Lapangan Terbang Miyazaki Kementerian Pengangkutan, serpihan asfalt berselerak dalam radius sekitar 200 meter selepas insiden itu.

Rakaman video dari Kolej Penerbangan Awam yang menggunakan lapangan terbang itu sebagai pangkalan latihan juruterbang memaparkan kepulan asap hitam dan serpihan terbang ke udara.

Lapangan terbang Miyazaki dahulunya merupakan pangkalan udara Tentera Laut Imperial Jepun dan sering terjejas oleh penemuan bom AS yang tidak meletup dari Perang Dunia Kedua.

Dua bom lama ditemukan di lapangan terbang itu pada 2011 dan satu lagi pada 2021.

-- BERNAMA