Tragedi berdarah yang melanda bandar Marawi di Mindanao, selatan Filipina hampir dua tahun lalu ternyata memberikan kesan besar kepada kehidupan penduduknya.

Laporan yang dikeluarkan Jawatankuasa Antarabangsa Palang Merah (ICRC) menganggarkan hampir 350,000 penduduk di Marawi terpaksa menyelamatkan diri yang menjadikan kesemua mereka hidup sebagai Pelarian Dalam Negara (Internal Displaced Person).

Antaranya Johannah Abdel Fattah, 32, yang ditempatkan di kawasan pemindahan sementara di Bito, Marawi sejak krisis bermula pada 23 Mei 2017.

Ibu kepada empat orang anak dari masyarakat kaum Maranao ini mempunyai pengalaman bekerja secara kontrak sebagai pegawai kebajikan masyarakat di Manila.

Sebaik sahaja tamat kontrak, Johannah pulang ke Marawi untuk menyambung kehidupan sebagai pedagang sama seperti kebanyakan warga Maranao yang lain.

Sebulan sahaja selepas dia pulang ke Marawi, krisis bermula dan memuncak, lebih malang ketika itu dia sedang berpantang anak keempat.

Daripada raut wajahnya, setiausaha di Barangay Bito Buadi Itowa ini tidak terpamer kerisauannya terhadap masa depan dirinya dan anak-anak.


Perwatakan yang ceria menjadikan Johannah amat disenangi jiran tetangga malah menjadikan kerjanya lebih mudah setiap kali proses kemaskini maklumat pelarian dalam negeri dilakukan.

Baginya, bantuan berterusan yang diberikan amat baik, tetapi ia dilihat tidak mampu bertahan lama.

“Kehidupan kami telah berubah sejak hari pertama krisis. Walau bagaimanapun, sejak tahun lalu, bantuan yang telah diberikan kepada kami dan beberapa organisasi lain telah dihentikan.

“Jadi semua orang terpaksa fokus kepada kehidupan masing-masing, untuk mencari makna kehidupan dan kami cuma mengharapkan bantuan berterusan bagi terus mengaktifkan semula penghidupan,” katanya ketika ditemui Astro AWANI di sini.

Dia yang turut melakukan kerja sukarelawan di kawasan pemindahan sementara menambah, fasa awal kehidupan amat sukar, tetapi bersyukur kerana dibantu pihak ICRC yang merupakan kumpulan pertama memberikan sokongan kemanusiaan kepada penduduk Marawi.

“Saya bersyukur kerana pihak ICRC telah membantu saya dalam usaha mencari saudara-mara yang hilang selepas kejadian di pusat bandar Marawi,” tambahnya.

Ini 'Rumah Buluh' yang menjadi tempat tinggal beliau sejak krisis bermula - Foto Astro AWANI/ Hilal Azmi
Biarpun semua ahli keluarga selamat daripada ancaman krisis berkenaan, Johannah kini sedang berusaha untuk membangunkan diri di samping mencari peluang baru demi kehidupan yang lebih mapan.

Kebanyakan pelarian dalam negeri dari Marawi terdiri daripada dua kumpulan, iaitu mereka yang tinggal di pusat pemindahan sementara dan mereka yang tinggal dengan saudara-mara di bandar berdekatan.

Kebanyakan mereka kini hidup dalam kesukaran kerana menghadapi cabaran untuk mendapatkan keperluan asas kehidupan, kewangan dan juga trauma.

Krisis di Marawi adalah konflik dalaman negara Filipina yang pada awalnya hanya membabitkan pertembungan kepentingan antara pihak kerajaan dengan kumpulan pemberontak.

Marawi menjadi tumpuan kerana ia merupakan bandar yang paling signifikan sebagai sebuah bandar Islam yang menjadi pusat kepada kegiatan ekonomi membabitkan perdagangan, pembelajaran akademik di Kepulauan Mindanao.

BACA: Fierce firefight as Philippines' toughest urban war down to last building