Krisis ekonomi yang melanda Eropah, memaksa penduduknya berjimat cermat dalam berbelanja, sempena perayaan Hari Natal.

Mereka tidak lagi mewah berbelanja, manakala peniaga pula merungut pendapatan mereka tidak seperti dulu.

Ternyata pelan penjimatan yang dilaksanakan kerajaan di beberapa negara telah menjejaskan penduduknya.

Sepanyol umpamanya, yang berdepan kemeseletan menyaksikan kadar pengangguran meningkat hingga 25 peratus.

Keadaan itu menyebabkan persiapan Hari Natal hanya ala kadar dengan tiada lagi pembelian barang mewah.

Golongan peniaga pula mengeluh kerana kuasa beli pengguna semakin rendah.

Di Perancis, kebimbangan mengenai krisis ekonomi, menyebabkan kos yang diperuntukkan setiap keluarga untuk Hari Natal lebih rendah berbanding tahun lalu.

Menurut Caroline Job, pemastautin tetap di Paris, "Kami lebih berhati-hati terhadap harga barang. Setiap penghujung bulan merupakan masa yang paling sukar untuk semua orang di sini.”

Situasi sama juga dialami di Itali.

Menurut Presiden Peniaga Makanan negara itu, Luigi Focacci, kadar pembelian makanan pada tahun ini turun 3 peratus.

Manakala pembelian barangan mewah juga, turun tujuh peratus.