UNITED Kingdom (UK) mengesahkan kes ketiga jangkitan novel koronavirus di negara tersebut.

Ketua Pegawai Perubatan England, Profesor Chris Whitty berkata pesakit ketiga tersebut tidak mendapat jangkitan virus tersebut di UK.

Pesakit tersebut difahamkan disahkan positif di Brighton dan dipindahkan ke pusat pakar Perkhidmatan Kesihatan Kebangsaan (NHS).

Whitty berkata pihaknya menggunakan langkah-langkah kawalan jangkitan yang ketat bagi mencegah penularan virus berkenaan.


“NHS sudah bersedia menangani kes sebegini dan kami kini bertindak dengan pantas untuk mengenal pasti sebarang kontak dengan pesakit ini,” katanya dalam satu kenyataan rasmi.

Pada 30 Januari lalu, Whitty mengesahkan dua kes pertama jangkitan novel koronavirus di negara itu.

Katanya, kedua-dua pesakit terbabit daripada keluarga yang sama.

Salah seorang daripada kedua-dua kes tersebut merupakan mahasiswa di University of York.