BANGKOK: Thailand sedang membuat persiapan termasuk bekerjasama dengan kedutaan dan organisasi antarabangsa yang berkaitan mengenai kemungkinan untuk memindahkan rakyat Thailand yang berada di Sudan.

Jurucakap Kementerian Luar (MFA), Kanchana Patarachoke berkata pada masa ini terdapat 250 rakyat Thailand menetap di Sudan, kebanyakannya pelajar Islam yang menuntut di International University of Africa dan kesemuanya dilaporkan selamat.

"Kementerian Luar telah berunding dengan agensi berkaitan dan membuat persiapan yang perlu untuk memindahkan rakyat Thailand," katanya dalam taklimat media pada Jumaat.

Selain itu, beliau berkata kementerian telah meluluskan bantuan dalam bentuk bekalan yang diperlukan melalui Konsulat Kehormat Diraja Thailand di Khartoum.

Keadaan di Sudan terutamanya di kebanyakan lokasi di Khartoum semakin meruncing susulan pertempuran antara Tentera Sudan (SAF) dan pasukan separa tentera Rapid Support Forces (RSF) yang bermula sejak 15 April lalu.

Warga asing di Sudan masih belum dapat meninggalkan negara itu kerana Lapangan Terbang Antarabangsa Khartoum masih ditutup.

-- BERNAMA