KAHERAH: Pihak berkuasa Mesir pada Ahad memindahkan 436 rakyatnya dari Sudan dengan menggunakan laluan darat, menurut Kementerian Luar Mesir.

Misi diplomatik Mesir di Khartoum, Pelabuhan Sudan dan Wadi Halfa akan terus berkoordinasi dengan warga Mesir di Sudan untuk memastikan proses pemindahan mereka berjalan lancar, lapor Xinhua.

Setakat ini, kira-kira lebih 10,000 rakyat Mesir dilaporkan berada di Sudan.

Sejak bermulanya konflik di Sudan pada 15 April lalu, syarikat penerbangan Mesir EgyptAir telah menangguhkan penerbangan keluar dan masuk dari Lapangan Terbang Antarabangsa Khartoum.

Pertempuran antara Angkatan Tentera Sudan dan pasukan separa tentera Rapid Support Forces (RSF) masih berlarutan di Khartoum dan beberapa bandar berdekatan.

Menurut Kementerian Kesihatan Sudan, pertempuran itu telah menyebabkan sekurang-kurangnya 424 orang terbunuh dan kira-kira 3,730 lagi cedera.

Sementara itu, Kementerian Luar Tunisia mengumumkan pada Ahad, pemindahan rakyatnya dari Khartoum akan bermula pada Isnin.

Di Accra, menurut Kementerian Luar Ghana, persiapan sedang diatur untuk memindahkan warga Ghana yang terkandas di Sudan.

"Sebilangan warga Ghana, khususnya pelajar telah terjejas akibat konflik itu. Namun kesemua mereka dilaporkan selamat," menurut kenyataan itu.

Sementara itu, di Rom, Menteri Luar Itali Antonio Tajani berkata orang awam dan diplomat Itali yang mahu meninggalkan Sudan sudah pun dibawa keluar dari Khartoum menuju ke Djibouti, lapor Agensi Berita Jerman (dpa).

"Saya bangga dengan kerja berpasukan yang membawa kepada kejayaan operasi pemindahan yang rumit itu," tulis Tajani di Twitter.

Tajani sebelum ini mengumumkan pemindahan kira-kira 200 orang awam dan kakitangan kedutaan termasuk rakyat Switzerland, pekerja kedutaan Vatican dan kira-kira 20 lagi warga Eropah.

Sementara itu, kerajaan Sepanyol juga sudah memindahkan rakyat dan diplomatnya, kata Menteri Luar Jose Manuel Albares.

"Kami mengulangi gesaan untuk gencatan senjata dan menyambung semula dialog di Sudan," katanya di Twitter.

Menteri Pertahanan Margarita Robles sebelum ini berkata bahawa Sepanyol merancang untuk menempatkan sejumlah enam pesawat sebagai sebahagian daripada operasi pemindahan.

-- BERNAMA