KEPADA banyak orang, barangkali ada sedikit ria di celah-celah laporan nestapa perang yang mendera, apabila gencatan senjata dipersetujui Israel, pada satu hari - selepas 46 hari - Palestin dizalimi dalam serangan bertubi-tubi menghilangkan nyawa 13,000 manusia.

Nanti dulu, usah cepat ada rasa lega dan gembira. Kita kembali kepada tarikh 7 Oktober 2023, di mana semua kegilaan "berkali-kali" Israel ini bermula. Israel terkejut dengan kecekapan Hamas lancar serangan.

Malu keselamatan perisikan canggih mereka digodam Hamas, mereka berikrar untuk menyerang balas. Semuanya untuk balas dendam. Semuanya untuk hapus Hamas. Itu kata Israel sebelum gencatan dipersetujui.

Ketika desakan memuncak seluruh dunia untuk dipersetujui gencatan sekali pun, Perdana Menteri Benjamin Netanyahu enggan akur atas hujah, gencatan bermakna menyerah kalah kepada Hamas. Menyerah kalah kepada Hamas tidak ada dalam kamus Israel, katanya sebelum ini.

Masih lagi pada tarikh 7 Oktober 2023. Ketika Operasi Taufan Al-Aqsa oleh Hamas berlangsung, pasukan pejuang itu berjaya menahan tebusan warga Israel, dikatakan 50 orang kesemuanya.

Ini merupakan sebab yang membawa kepada persetujuan Kabinet Israel menerima gencatan senjata bersama Hamas.

Bahawa, tempoh bertenang empat hari membolehkan pertukaran pembebasan tahanan dilakukan.

Bermakna, empat hari tiada serangan, bererti bekalan kemanusiaan mengalir semula, bermaksud ini "oksigen" kepada penduduk Palestin yang memerlukan.

Sebentar, mari kita ke satu tarikh di mana Netanyahu berucap membentangkan peta Asia Barat di Perhimpunan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada 23 September 2023.

Ketika itu, tiada Palestin disebut, yang ada cuma Israel. Tiada keluar daripada mulutnya mengenai dua negara - Israel dan Palestin - yang ada cuma Israel. Dan, malangnya, tidak ramai yang memberi perhatian kepada kenyataan Netanyahu ini.

Tetapi, Hamas dapat menangkap pesan kenyataan Netanyahu di PBB itu, malah lama sebelum ucapan itu sekali pun. Kerana itu, mereka bertindak pada 7 Oktober 2023 melalui Operasi Taufan Al-Aqsa.

Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu semasa membentangkan peta "baharu" Asia Barat ketika berucap di Perhimpunan Agung PBB, 23 September 2023. - Gambar Reuters


Sekarang mari kita pergi pula ke tarikh pilihan raya diadakan tahun ini, Netanyahu menang pilihan raya tetapi parti pimpinannya, Likud tidak dapat membentuk kerajaan kerana kekurangan kerusi.

Jangan dilupakan, pemimpin veteran ini ada terpalit kes rasuah melibatkan ratusan juta dan berpotensi menghumbankannya ke penjara jika sabit kesalahan.

Mujurnya Netanyahu, parti-parti kecil yang menang beberapa kerusi, yang dahulunya menjadi pesaing, mahu bergabung dengan Likud untuk memberinya hayat dalam politik.

Maka, naik semula Netanyahu di kedudukan kuasa. Tetapi, bagaimana pula kes rasuahnya?
Ini masanya Netanyahu membayar hutang sebagai membalas jasa parti-parti kecil yang bergabung dengannya.

Satu undian telah diluluskan supaya mahkamah diletakkan di bawah kuasa Perdana Menteri dan bukannya ia berdiri sendiri. Ia tidak akan diluluskan jika tiada sokongan daripada parti-parti kecil yang mengundi memihak kepada usul tersebut.

Parti-parti itu ialah Yamina pimpinan Naftali Bennett dan Harapan Baharu, diterajui Gideon Sa’ar serta parti-parti lain yang tegar berhaluan kanan dan Ortodoks Yahudi dipimpin Menteri Pertahanan Yoav Gallant.

Senario inilah yang membentuk apa yang berlaku ke atas Palestin sekarang.

Bagaimana? Parti-parti kecil yang memberi undi kepada Netanyahu dan usul mengenai mahkamah sememangnya aliran mereka ialah mahu menghapuskan Palestin.

Mereka tidak mahu Palestin ada di peta Israel dan mahu Yahudi menguasai di tempat Palestin sekarang, susulan Deklarasi Balfour 1948.

Mahu tidak mahu, Netanyahu terpaksa "membunuh" demi "menghidupkan" nyawanya sendiri. Ini janji Netanyahu, ini balasan Netanyahu untuk jasa parti-parti kecil itu.

"Tidak ada apa yang menggembirakan selepas gencatan senjata diumum pada Rabu, 22 November 2023. Israel tetap akan menghapuskan Palestin.”

Itu tekad Netanyahu. Itu janji Netanyahu kepada parti-parti kecil yang membantunya naik kuasa dan menyokongnya dengan usul mengenai kes rasuahnya.

Netanyahu bebas, tetapi janji mesti dikota, hutang mesti dibayar. Hutang itu adalah nyawa penduduk Palestin.

"Perang ini masih akan berpanjangan. Ramai yang akan gugur, banyak bangunan akan musnah. Lebih ramai kanak-kanak dibunuh untuk hapus generasi. Makin berleluasa tentera bertindak supaya tembok lain boleh didirikan, sekatan dibuat untuk menyeksakan Palestin.

“Ini adalah realiti, bukan drama walaupun latarnya bergerak seputar helah Perdana Menteri Israel Benjamin Netanyahu sahaja,” kata Ahmad Moussa, seorang rakan Palestin - kami sama-sama belajar di Universiti Islam Antarabangsa (UIA) dan terus berhubung sehingga sekarang.

Reaksi Ahmad saya segera cungkil ketika berita mengenai gencatan senjata disiarkan media.

"Tetapi, empat hari tiada serangan bukan, kerana gencatan?" soal saya sebelum dijawab Ahmad yang meminta saya merujuk kenyataan Netanyahu yang akan tetap berperang sehingga Hamas dikalahkan.

"Menteri Pertahanan Israel sendiri maklumkan, Israel memerlukan empat hingga enam bulan untuk membersihkan bumi Palestin daripada Hamas. Kepada rakyat Palestin, kami adalah Hamas dan Hamas adalah Palestin. Untuk membaca kenyataan itu, kami bacanya sebagai pembersihan Palestin, bukan Hamas semata-mata. Jadi, perang ini akan terus berlaku, kami akan terus sengsara," tambah Ahmad.

Ketika ini sekali pun, kongsi Ahmad, Israel menzalimi penduduk di Gaza dengan mengebom Gaza City dan Gaza Utara supaya pada akhirnya mereka boleh mengambil alih keseluruhan Gaza, yang ditadbir Hamas.

"Tebing Barat sudah lama ditakluk, diduduki secara haram oleh Israel, Baitulmaqdis juga dikuasai Israel. Jadi, sekarang hanya tinggal Gaza sahaja, itulah yang diperjuangkan Hamas. Tanah Palestin sudah lebih daripada secara kejam dirampas Israel. Inilah yang diperlukan Palestin, doa supaya tanah yang secebis di Gaza itu tidak bertukar tangan.

"Jangan sesekali lupa, Israel sudah lima kali menggila di Gaza, pada 2008-2009 selama 23 hari; 2012 selama lapan hari; 2014 selama 50 hari; 2021 selama 11 hari dan sekarang, sejak Oktober 2023, ia masih berlanjutan, " katanya sebelum menambah: "Tunggulah. Selepas empat hari Israel akan menggila semula sehingga semua peta jadi biru, ini operasi "membirukan" peta."

Penyelesaian dua negara bukan lagi kompromi kepada Palestin selepas serangan  kejam rejim Zionis yang mahu merampas keseluruhan tanah milik Palestin. - Gambar Reuters

Kalau gencatan senjata, kemarahan global ke atas rejim Zionis juga tidak boleh meyekat kemaraan Israel untuk terus membunuh menghapuskan Palestin, bagaimana pula dengan penyelesaian dua negara (two-state solution)?

"Penyelesaian dua negara sudah tidak ada dalam kamus Israel sejak Netanyahu berada di puncak kuasa. Malah, ia bukan minat Israel untuk menuju kepada penyelesaian keamanan sebegitu. Tidak semasa Yitzhak Rabin, Ehud Barak atau Shimon Peres.

“Kepada kita, ia adalah kompromi yang lebih baik berbanding membunuh menghapuskan Palestin untuk berkuasa, tetapi tidak untuk Israel," kata Prof Mohamad Mohsen M.Salleh, bekas pensyarah saya dan Ahmad semasa di UIA. Beliau adalah Pengasas Al-Zaytouna Center, badan pemikir untuk pengajian Palestin dan Asia Barat.

Kita yang setiap hari sejak 7 Oktober 2023, bahkan ada yang selama tujuh dekad lalu mengikuti derita, ranjau panjang Palestin ini, menjadi terdera dengan dimensi laporan berita serta imej disiarkan.

Kanak-kanak dibunuh, hospital tempat berlindung dibom, ramai bayi pramatang tidak boleh melihat dunia kerana tiada kelengkapan di hospital membantu menyambung nyawa dan penduduk menjadi pelarian, kelaparan bukan lagi ganjil dan penyakit menular.

Senario dan naratif ini, - kalau kita manusia biasa, - sudah tentu disuntik rasa kasihan, simpati dan pada masa sama marah kepada yang melakukannya.

Selebihnya, perasaan yang serba-serbi penuh kemanusiaan akan meresap mendera apabila membaca dan melihat mengenai perang.

Walaupun tidak mempamerkan duka dan hiba dengannya, setidak-tidaknya apa yang dideritai Palestin mengajar kita erti manusiawi melalui simpati.

Kalau tidak mahu jadi manusiawi, mahu jadi apa kita?

Tidak perlu menjadi Muslim pun untuk menyokong Palestin, cukup jadi manusiawi untuk mengasihani
manusia lain.

Membunuh dan menghapuskan orang lain kerana mahu menyelamatkan diri, bukan manusiawi, itu tidak bertamadun.



* Azlinariah Abdullah ialah Editor Astro AWANI dan penulis buku Pengembara Tanpa Pasport.

** Penulisan artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan sidang pengarang Astro AWANI.