SEEKOR beruang koala yang parah akibat kebakaran minggu lalu, akhirnya terpaksa disuntik mati selepas haiwan itu gagal pulih dari kecederaannya.

Memetik laporan agensi berita antarabangsa, pihak hospital mengambil keputusan tersebut bagi mengelak Koala yang dinamakan Lewis itu dari terus merana kesakitan.

Lewis sebelum ini berjaya diselamatkan orang awam yang ditemui dalam kebakaran hutan minggu lalu.

Presiden Hospital Koala Port Macquarie, Sue Ashton berkata pihaknya telah berusaha untuk menyelamatkan koala berusia 14 tahun itu.

“Lewis sebelum ini cedera akibat terbakar ketika tiba di Hospital Koala dan pihak kami telah menjaganya dengan rapi sejak dari awal.

“Kami tahu kecederaan yang dialaminya amat sukar untuk dirawat tetapi kami membuat keputusan untuk menjaga koala itu dengan rapi.

“Tetapi kami terpaksa membuat keputusan untuk memberi suntikan (mati) dan ia adalah keputusan terbaik buat koala itu,” jelasnya.


BACA: Lebih 1,000 mati, habitat musnah... beruang koala di ambang kepupusan

Minggu lalu, seorang wanita bernama Toni Doherty yang menyelamatkan koala jantan itu menemuinya di lebuh raya Oxley berdekatan New South Wales.

Wanita itu dilaporkan bertarung dengan api untuk menyelamatkan koala tersebut daripada hangus dijilat api.

Dalam pada itu, Ashton berkata, akibat kebakaran hutan yang melanda Australia, ratusan koala dilaporkan mati.

“Ratusan koala telah mati. Malah ada kajian oleh para saintis yang menyatakan ribuan koala sebenarnya sudah mati dari daerah New South Wales hingga daerah Queensland.

“Koala adalah ikon buat Australia dan jika kita kehilangan ikon ini akan memberi impak kepada banyak industri termasuk pelancongan dan beberapa industri lain,” katanya.

BACA: Ratusan beruang koala mati dalam kebakaran hutan di Australia

Justeru pihaknya menyeru pihak berkuasa untuk membuat keputusan tentang hal ini yang boleh membantu menjaga populasi koala dan seterusnya meningkatkan populasi haiwan ini.