Google kalah dalam rayuan terakhirnya terhadap Kesatuan Eropah (EU) yang mengenakan penalti sebanyak AS$2.7 bilion dolar melibatkan kes antikepercayaan yang telah berlanjutan sejak tujuh tahun lalu.

Syarikat Gergasi dari Amerika Syarikat (AS) itu berdepan tuduhan menyalahgunakan penguasaan mereka ke atas pasaran sebagai enjin carian paling popular di dunia untuk memberikan kelebihan kepada perkhidmatan sendiri.

Mahkamah Keadilan EU dalam kenyataan akhbar memaklumkan, melalui penghakiman hari ini, mahkamah menolak rayuan Google dan mengekalkan penghakiman yang dibuat Mahkamah Agung.

Keputusan asal pada 2017 menuduh Google secara tidak adil mengarahkan pengunjung kepada perkhidmatan Google Shopping miliknya sendiri, sehingga merugikan pesaing.

Memetik laporan AP, Google membuat perubahan untuk mematuhi keputusan EU yang memerlukannya untuk melayan pesaing secara sama rata.

Pada masa yang sama, syarikat itu merayu keputusan itu kepada mahkamah.

Tetapi Mahkamah Agung EU menolak cabarannya pada 2021 dan penasihat Mahkamah Keadilan kemudiannya turut mengesyorkan menolak rayuan berkenaan.

Google juga sedang merayu terhadap dua lagi  denda melibatkan kes antikepercayaan EU berhubung sistem pengendalian mudah alih Android dan platform pengiklanan AdSense.

Keputusan dalam kes Android turut tidak memihak kepadanya, apabila Mahkamah Umum EU mengekalkan denda 4.125 bilion euro yang dikenakan oleh EU dalam keputusan pada 2022.

Rayuan awalnya terhadap denda 1.49 bilion euro melibatkan kes AdSense masih belum diputuskan.