INSIDEN kematian lelaki kulit hitam George Floyd bulan lalu membawa pelbagai impak kepada masyarakat di serata dunia.

Selain perarakan dan sorakan, penunjuk perasaan turut bertindak agresif membuat manifestasi menerusi aktiviti menumbangkan serta mengalihkan tugu-tugu dan patung arca yang memperingati tokoh-tokoh kenamaan di sekitar ibu kota.

Natijahnya, patung-patung yang telah berdiri lama di seluruh dunia itu dicemari kerana dakwaan kaitannya dengan amalan perkauman.

Berikut lima tugu yang dirosakkan susulan kontroversi kematian Floyd.


1. Patung arca Edward Colston


Penunjuk perasaan menumbangkan patung arca peniaga hamba abad ke-17 di Bristol, England dalam satu demonstrasi Black Lives Matter pada 7 Jun lalu.

Patung arca Edward Colston telah ditempatkan di pusat bandar Bristol sejak tahun 1895.

Dalam satu sesi tunjuk perasaan, mereka dilihat bertepuk tangan dan bersorak apabila berjaya menumbangkan patung arca itu.

Memetik maklumat Muzium Bristol, Colston dikatakan memberikan sebahagian besar kekayaannya kepada badan amal, namun mengehadkan manfaat itu hanya kepada golongan yang bersefahaman dengan agamanya.


2. Tugu patung Christopher Columbus

.

Tugu patung tokoh pelayar Christopher Columbus menerima nasib sama apabila patung pengasas negara itu dirosakkan, dibakar dan dihumban di negeri Virginia ke dalam tasik.

Walaupun diraikan kerana kejayaan menjumpai Amerika pada abad ke 14, Columbus juga dituduh melakukan pembunuhan beramai-ramai terhadap orang asal Amerika.

Ia didedikasikan di Richmond pada Disember 1927, dan merupakan arca patung pertama Christopher Columbus yang didirikan di negeri sebelah selatan AS.

Selain Virginia, patung Columbus di Miami dan Saint Paul, Minnesota turut menerima tempias apabila dicat merah dan ditumbangkan.

BACA: Tugu peringatan Christopher Columbus dibakar, dihumban dalam tasik


3. Tugu patung Raja Leopold II

.

Di Belgium, patung Raja Leopold II yang memerintah Belgium dari 1865 sehingga 1909 dirobohkan.

Leopold menjajah Congo lebih seabad lalu dan bertanggungjawab ke atas eksploitasi dan pembunuhan jutaan rakyat negara itu.

Menurut Presiden kumpulan Bamko-Cran Congo, Mireille-tsheusi Robert, Leopold dipercayai telah membunuh 10 juta rakyat Congo sehingga menerima gelaran patung Hitler.



4. Tugu patung Winston Churchill

.

Protes menyaksikan para penunjuk perasaan mencacatkan patung arca bekas perdana menteri Britain, Winston Churchill, dan semburan yang dicat 'rasis' di bawah namanya.

Menurut sejarah, Churcill pernah menyatakan pandangan rasis dan pernah dikritik kerana tidak mahu memberi bantuan kepada lebih dari dua juta rakyat India di Bengal yang mati akibat kebuluran pada 1943.


5. Tugu patung Robert Milligan

.


Tugu peringatan kepada pemilik hamba abdi kurun ke-18 di United Kingdom (UK) turut menjadi mangsa kepada anti perkauman.

Tugu Robert Milligan dialihkan dari pekarangan Muzium Pelabuhan di London dengan disambut sorakan penyokong pejuang anti perkauman pada Selasa.

Ia dialihkan oleh pihak pengurusan Muzium Pelabuhan London.

Milligan semasa hayatnya memiliki dua ladang tebu dan 526 hamba abdi dari Jamaica.

BACA: Protes George Floyd: Lagi tugu tokoh imperialis dialihkan di UK