Laporan itu mendapati pada April 2024, terdapat 2,682 jutawan di seluruh dunia, meningkat kira-kira 50 peratus berbanding Mac 2015.
Kekayaan keseluruhan mereka meningkat sebanyak 121 peratus kepada AS$14 trilion sepanjang tempoh itu, satu peningkatan ketara berbanding indeks ekuiti global yang meningkat sebanyak 73 peratus.
Kekayaan jutawan meningkat secara berterusan di Amerika Syarikat (AS) dan pada tahap yang lebih rendah, di Eropah manakala China mengalami tempoh pertumbuhan pesat sehingga tahun 2020, diikuti dengan kelembapan.
"Kekayaan jutawan teknologi berkembang paling pesat dalam tempoh 10 tahun," menurut laporan itu, meningkat tiga kali ganda kepada AS$2.4 trilion yang didorong oleh teknologi baharu termasuk kecerdasan buatan, keselamatan siber, fintech, pencetakan 3D dan robotik.
Dalam satu tinjauan terhadap 82 jutawan yang dijalankan oleh UBS antara Jun dan September, kira-kira 40 peratus berkata mereka ingin melabur lebih banyak dalam hartanah dan ekuiti dari negara maju dalam 12 bulan akan datang.
Sebanyak 40 peratus lagi ingin meningkatkan pegangan mereka dalam tempat perlindungan yang selamat seperti emas dan logam berharga lain, manakala 31 peratus ingin menambah simpanan tunai.
Laporan itu menyatakan ini mungkin mencerminkan kebimbangan mengenai risiko geopolitik yang meningkat dan penilaian pasaran ekuiti.
Golongan jutawan juga semakin kerap berpindah, dengan satu daripada 15 individu beralih tempat tinggal sejak pandemik koronavirus, mencari kestabilan politik, penjagaan kesihatan yang baik dan sekolah yang terbaik.
Switzerland, Singapura, Emiriah Arab Bersatu dan AS kesemuanya telah menyaksikan kemasukan jutawan.
-- BERNAMA