Pasukan pembebasan berjaya menawan pangkalan tentera dan pusat pengedaran untuk dadah perangsang ini, yang selama ini membanjiri pasaran gelap di seluruh Asia Barat.
Diketuai oleh kumpulan Hayat Tahrir Al-Sham (HTS), para pasukan berkenaan berkata, mereka telah menemui sejumlah besar dadah dan berjanji untuk memusnahkannya.
Pada Rabu, pejuang HTS membenarkan wartawan AFP memasuki sebuah gudang di kawasan kuari di pinggir Damsyik lokasi pil Captagon disembunyikan di dalam komponen elektrik untuk tujuan eksport.
“Setelah kami masuk dan melakukan pemeriksaan, kami dapati ini adalah kilang milik Maher Assad (adik Bashar) dan rakan kongsinya, Amer Khiti,” kata seorang pejuang pasukan HTS, Abu Malek Al-Shami.
Maher Assad, seorang komander tentera itu kini dipercayai melarikan diri.
Dia dituduh secara meluas sebagai dalang perdagangan Captagon yang menguntungkan.
Sementara ahli politik Syria, Amer Khiti, telah dikenakan sekatan oleh kerajaan British pada 2023 kerana dikatakan “mengawal pelbagai perniagaan di Syria yang memudahkan pengeluaran dan penyeludupan dadah.”
Di sebuah garaj luas di bawah gudang itu, ribuan pil Captagon berwarna kuning berdebu ditemui disorokkan
dalam gegelung kuprum peralatan penstabil voltan rumah yang baru.
“Kami menemui sejumlah besar peranti yang dipenuhi dengan bungkusan pil captagon untuk diseludup keluar dari negara ini. Jumlahnya sangat besar, sukar untuk dianggarkan,” kata Al-Shami.
Di tingkat atas gudang itu pula ditempatkan peti-peti berisi kotak karton menyembunyikan dadah selain timbunan guni berisi soda kaustik.
Soda kaustik atau natrium hidroksida merupakan bahan utama dalam penghasilan methamphetamine, sejenis dadah perangsang lain.
Assad tumbang pada hujung minggu lalu dalam serangan kilat oleh HTS, tetapi pendapatan daripada penjualan Captagon telah menyokong kerajaannya sepanjang 13 tahun perang saudara di Syria.
Captagon menjadikan Syria sebagai pengedar dadah terbesar di dunia sekali gus mengatasi semua eksport sah digabungkan, menurut anggaran berdasarkan data rasmi oleh AFP pada 2022.
Penemuan dadah di gudang itu sangat besar, tetapi sejumlah simpanan Captagon yang lebih kecil dan masih ketara juga ditemui di kemudahan tentera yang berkait dengan unit di bawah kawalan Maher Assad.
Wartawan AFP minggu ini menyaksikan pembakaran pil Captagon di pangkalan udara Mazzeh, yang kini berada di bawah kawalan pejuang HTS yang bergerak ke ibu kota Damsyik dari utara.
Di belakang timbunan yang masih terbakar, bangunan tentera udara yang telah dirompak itu menyimpan Captagon lain bersama eksport haram, termasuk ubat perangsang seksual tiruan dan wang palsu AS$100 yang berkualiti rendah.
“Ketika kami memasuki kawasan itu, kami menemui sejumlah besar Captagon. Jadi kami memusnahkannya dan membakarnya. Ia jumlah yang sangat besar,” kata seorang pejuang HTS yang menggunakan nama perangnya “Khattab.”
“Kami memusnahkannya kerana ia membahayakan manusia dan alam sekitar,” tambahnya.
Khattab turut menegaskan, HTS yang kini membentuk kerajaan peralihan untuk menggantikan pentadbiran yang runtuh, tidak berniat untuk membahayakan negara jiran dengan mengeksport dadah tersebut, yang bernilai berbilion dolar. - Agensi