DAMSYIK : Bekas Perdana Menteri Syria, Mohammad Ghazi al-Jalali bersetuju untuk menyerahkan kuasa kepada rakan sejawatan daripada kumpulan pembebas, kata beliau kepada TV Al Arabiya.

Persetujuan itu dicapai semasa pertemuan antara kumpulan pembebasan Syria, Hayat Tahrir al-Sham (HTS) dengan Ghazi al-Jalali iaitu Perdana Menteri di era pentadbiran rejim Bashar al-Assad.

Video yang dikongsi oleh kumpulan itu pada Isnin menunjukkan pemimpin HTS, Abu Mohammed al-Jolani dan Perdana Menteri Kerajaan Penyelamat yang berkaitan HTS Mohammed al-Bashir, bertemu dengan Ghazi al-Jalali.

Menurut kenyataan HTS, pertemuan itu adalah untuk "menyelaraskan peralihan kuasa dengan cara yang memastikan penyediaan perkhidmatan kepada rakyat kita di Syria."

Pertemuan di sini itu diadakan selepas Perdana Menteri Ghazai al-Jalali berjanji untuk bekerjasama dengan kumpulan pembebasan dan menyokong "peralihan fungsi kerajaan yang lancar dan sistematik" selain memelihara "kemudahan negara," dalam mesej yang direkodkan selepas HTS mengambil alih Damsyik.

Bakal Perdana Menteri Syria, Bashir, sebelum ini merupakan Perdana Menteri di kawasan Idlib yang dikuasai pemberontak di utara Syria.

“Beliau (Bashir) mempunyai banyaj pengalaman dan mula bekerja dari kosong. Perlu diingat bahawa Idlib kecil tanpa sumber, kami dapat melakukan banyak perkara pada masa lalu,” kata Jolani dalam video itu.

“Anda akan melihat bahawa mereka berpengalaman. Mereka mempunyai rekod kejayaan yang baik menangani isu-isu tertentu dalam pelbagai kapasiti, itulah sebabnya kita perlu terus bekerjasama dengan mereka dan mendapat manfaat daripada [pengalaman mereka],” tambah Jolani - yang dirujuk oleh kumpulan pembebas dengan nama sebenarnya. Ahmad al-Sharaa.

Pada hujung minggu, video yang memuatkan kandungan pasukan pembebasan mengiringi Jalali - Perdana Menteri rejim Assad ke sebuah hotel di Damsyik.

Video itu menunjukkan beliau dikelilingi oleh lelaki bersenjata berjalan menuruni beberapa anak tangga dan memasuki sebuah kenderaan utiliti sukan (SUV) bewarna hitam bersama seorang lelaki lain. - Agensi