WASHINGTON: Kira-kira separuh daripada keluarga di Amerika Syarikat (AS) terjejas akibat insiden berkaitan senjata api manakala satu daripada lima berkata mereka secara peribadi telah diancam dengan pistol, menurut tinjauan baru-baru ini.

Tinjauan oleh Yayasan Keluarga Kaiser itu juga mendapati bahawa kira-kira 54 peratus orang dewasa AS berkata mereka atau ahli keluarga pernah mengalami insiden berkaitan senjata api, menurut Agensi Anadolu.

Secara peribadi 21 peratus diancam dengan pistol manakala 19 peratus berkata seorang ahli keluarga mereka dibunuh dengan pistol, termasuk kematian akibat bunuh diri.

Kira-kira 17 peratus responden berkata mereka sendiri menyaksikan seseorang ditembak, empat peratus menunjukkan mereka menggunakan pistol untuk mempertahankan diri dan empat peratus lagi cedera dalam tembakan.

Tinjauan itu mendapati kecederaan dan kematian berkaitan senjata api memberi kesan berkadar tidak seimbang kepada penduduk yang mempunyai warna kulit yang berlainan di AS.

Kira-kira 84 peratus orang dewasa berkata mereka telah mengambil sekurang-kurangnya satu langkah berjaga-jaga terhadap kemungkinan keganasan senjata api yang menjejaskan keluarga mereka.

Empat daripada 10 orang dewasa didapati tinggal di dalam rumah yang memiliki senjata api.

Tinjauan itu dilakukan selepas kejadian tembakan maut di sekolah di Nashville, Tennessee yang mengorbankan tiga pelajar dan tiga orang dewasa.

Lebih 11,500 orang di AS meninggal dunia akibat keganasan senjata api setakat 11 April, Agensi Anadolu memetik kumpulan penyelidik Gun Violence Archive pada Selasa.

Terdapat 147 insiden tembakan besar-besaran di negara ini pada 2023 yang telah membunuh 72 kanak-kanak.

-- BERNAMA