INDIANAPOLIS: Seorang remaja lelaki yang gigih memanjat sebatang pokok yang besar dan tinggi di sebuah taman di Indianapolis, Amerika Syarikat kerana mahu menyelamatkan seekor kucing, tidak menyangka faktor ketinggian akan ‘membunuh’ keberaniannya.

Remaja berusia 17 tahun itu sedang bersiar-siar di Holliday Park  pada petang Sabtu lalu ketika dia terperasan seekor kucing yang berada di sebatang dahan yang tinggi. Tanpa berlengah, dia sendiri memanjat pokok itu hingga setinggi 10.7 meter.

AP melaporkan, Jabatan Bomba dan Penyelamat Indianapolis telah mengesahkan insiden itu.

Remaja yang hanya dinamakan sebagai ‘Owen’ itu memberitahu anggota bomba  bahawa dia ‘hanya mahu lakukan perkara baik dengan menyelamatkan kucing’ berkenaan,” kata ketua batalion dan jurucakap jabatan itu, Rita Reith.

“Owen pada awalnya tidak berdepan masalah untuk memanjat, namun kemudian kedudukannya di atas pokok itu tidak memudahkannya untuk turun kembali,” tambahnya.

 Pasukan bomba tiba di lokasi 'kekecohan' gara-gara seekor kucing. - AP

Pasukan bomba yang bergegas ke taman itu mengendali situasi tersebut dengan menggunakan sistem tali dan akhirnya, remaja itu selamat diturunkan selepas dua jam dalam keadaan gayat dan ketakutan.

Dia hanya mengaami luka ringan ketika diperiksa anggota perubatan, dan dibenarkan pulang ke rumah ibu bapanya.

Apa jadi pada kucing itu?

“Kucing itu dilihat ‘seronok’ menyaksikan kekecohan itu namun sedikitpun tidak menunjukkan minat untuk turun dari pokok,” kata Reith.

Pada Isnin, Reith berkata, seorang wanita berusia 21 tahun yang merupakan tuan kucing berkenaan telah berjaya memastikan kucingnya selamat setelah memanggil penyelamat dari syarikat swasta.

Gambar berikut adalah si kucing itu yang kelihatan tenang saja. Pastinya, ia langsung tidak peduli berapa ramai orang yang telah disusahkannya!

Si kucing yang menyusahkan ramai orang! - AP