Israel enggan menerima resolusi Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) yang mengisytiharkan pengiktirafan Amerika Syarikat (AS) bahawa Baitulmaqdis adalah ibu negara tersebut sebagai terbatal dan tidak sah.

Perdana Menterinya Benjamin Netanyahu berkeras bahawa Baitulmaqdis 'sentiasa' menjadi ibu negara Israel.

"Kami tidak terima resolusi ini. Baitulmaqdis adalah ibu negara kami. Namun, saya hargai semakin banyak negara yang menerima perkara ini.

"Saya ucapkan terima kasih kepada Presiden Trump dan Duta AS Nikki Haley kerana mempertahankan Israel," katanya dalam satu video di Facebook.

Pengumuman yang dibuat Trump pada 6 Disember lalu tersasar jauh dari polisi luar negara tersebut yang telah menerima konsensus bahawa nasib Baitulmaqdis wajar ditentukan melalui rundingan.