ANKARA: Eropah dijangka menyaksikan pertumbuhan ekonomi lebih rendah dan kadar inflasi lebih tinggi susulan operasi ketenteraan berterusan Rusia di Ukraine yang kini memasuki lapan minggu, menurut Bank Pusat Eropah (ECB) pada Jumaat.

Menurut tinjauan ECB bagi suku kedua 2022, kadar inflasi dijangka mencecah enam peratus pada tahun ini, manakala 2.4 peratus pada tahun depan.

Anggaran inflasi sebelum ini sekitar tiga peratus untuk 2022 dan 1.8 peratus bagi 2023, lapor Agensi Anadolu.

Sementara itu, ramalan pertumbuhan ekonomi diturunkan kepada 2.9 peratus berbanding 4.2 peratus untuk 2022 dan 2.3 peratus daripada 2.7 peratus untuk 2023.

"Para peramal mendakwa krisis di Ukraine menjadi faktor utama di sebalik semakan ramalan makroekonomi.

"Semakan ini mencerminkan kesan tidak langsung akibat harga tenaga dan makanan yang lebih tinggi serta gangguan terhadap rantaian bekalan," menurut tinjauan itu.

-- BERNAMA