AMMAN: Jordan Hashemite Charity Organisation pada Sabtu memaklumkan bahawa pihaknya telah menghantar konvoi bantuan kemanusiaan baharu ke Semenanjung Gaza dengan kerjasama Angkatan Tentera Jordan dan Program Makanan Sedunia.

Konvoi itu terdiri daripada 50 lori yang membawa bekalan makanan, peralatan perubatan, dan barangan keperluan lain, yang akan diserahkan kepada pihak berkuasa berkaitan di Gaza untuk diagihkan kepada mereka yang memerlukan, menurut kenyataan organisasi itu, lapor Xinhua.

Setiausaha Agung organisasi itu, Hussein Shibli menegaskan bahawa Jordan akan terus berada di barisan hadapan dalam menyokong rakyat Gaza.

Beliau juga memaklumkan bahawa setakat ini, Jordan telah menghantar 4,326 lori bantuan ke Gaza, selain 53 pesawat melalui Lapangan Terbang El-Arish di Mesir.

Di samping itu, 390 misi penghantaran udara telah dilaksanakan, termasuk 124 oleh Jordan dan 266 menerusi kerjasama dengan negara lain, serta lapan misi bantuan menggunakan helikopter.

-- BERNAMA