AMMAN: Raja Jordan Raja Abdullah II pada Isnin menitahkan agar kerajaan membekukan cukai minyak tanah atau kerosin pada musim sejuk bagi meringankan beban rakyat.

Untuk mengurangkan beban rakyat maka perlu ada usaha dan langkah serius untuk mencari penyelesaian ekonomi kepada cabaran yang dihadapi Jordan melalui pelaksanaan pelbagai program ekonomi, titah Raja Abdullah II.

Baginda bertitah tahun 2023 akan menjadi tahun pelaksanaan pelan tindakan dan projek.

Sementara itu, Perdana Menteri Bisher Khasawneh berkata cukai ke atas minyak tanah akan "segera" dibekukan dan kerajaan tidak akan menaikkan harga walaupun harga global bahan api itu meningkat, lapor Xinhua.

Menurut Kementerian Tenaga, harga satu liter minyak tanah akan diturunkan daripada 0.785 dinar Jordan (sekitar AS$1.10) kepada 0.62 dinar Jordan.

Pada 1 Jan, Jordan menurunkan harga beberapa jenis derivatif bahan api antara dua hingga lapan peratus.

-- BERNAMA