Disebabkan peningkatan kes COVID-19, kerajaan Indonesia mengenakan larangan solat sunat Aidiladha berjemaah di Pulau Jawa dan Bali yang berada dalam zon merah.
Akur dengan larangan yang dikeluarkan itu, Presiden Indonesia Joko Widodo atau Jokowi menunaikan solat sunat Aidiladha di pekarangan Istana Presiden di Bogor dengan jemaah yang terbatas dan menjaga penjarakkan.
Berkongsi gambar di laman Instagramnya, Jokowi berkata, anggota pasukan keselamatan yang mengiringinya bertindak sebagai muazin, imam dan khatib ketika solat sunat Aidiladha pada pagi Selasa.
Jokowi turut memetik kata-kata khatib ketika membaca khutbah Aidiladha yang mengingatkan tentang usaha mendekatkan diri kepada Allah dengan melepaskan sifat ego.
"Kendati terbatas, salat berjamaah berlangsung lancar. Seperti kata sang khatib, “semua cobaan dapat kita lalui dengan baik manakala dihadapi dengan sabar.
"Sabar berkorban menjalankan ajaran Islam dan melepaskan egoisme untuk mendekatkan diri kepada Allah SWT,” tulis Jokowi lagi.
Pada Isnin, Indonesia mencatatkan 1,338 kes kematian harian akibat COVID-19, jumlah tertinggi direkodkan setakat ini walaupun angka kes baharu berkurang kepada 34,257.
Indonesia meneruskan dengan langkah-langkah tegas untuk mengekang pandemik itu dengan mengenakan larangan solat sunat berjemaah Aidiladha di Pulau Jawa dan Bali.
Bagaimanapun, kerajaan Indonesia menetapkan provinsi lain (selain Pulau Jawa dan Bali serta kabupaten atau kota yang berstatus zon merah) dibenarkan menjalankan solat sunat dengan protokol kesihatan COVID-19 yang ketat.
BACA: COVID-19: Indonesia rekod bilangan kematian tertinggi, larangan solat sunat Aidiladha esok