"Ia adalah isu yang perlu ditangani oleh Jepun secara keseluruhan," kata Ketua Setiausaha Kabinet Yoshimasa Hayashi dalam mesyuarat menteri pertama yang diadakan untuk membincangkan situasi itu.
Kira-kira 14 juta meter padu tanah berkenaan kini terkumpul bersama sisa radioaktif lain di kemudahan penyimpanan sementara berhampiran Kompleks Nuklear Fukushima Daiichi, yang rosak teruk akibat gempa bumi dan tsunami pada Mac 2011. Lokasi pelupusan akhir tanah berkenaan masih belum ditentukan.
Tanah dengan tahap radiasi tinggi yang tidak boleh dikitar semula dijadualkan untuk dilupuskan di luar wilayah timur laut itu mengikut undang-undang menjelang Mac 2045. Namun, berikutan ketiadaan pelan hala tuju, Gabenor Fukushima, Masao Uchibori, menggesa kerajaan pusat segera merangka pelan itu.
Jepun merancang untuk mengitar semula tanah dengan tahap radioaktif rendah, sehingga 8,000 becquerel per kilogram, untuk digunakan dalam projek awam seperti menambak jalan, sebagai langkah mengurangkan jumlah tanah yang perlu dilupuskan akhirnya.
Reaktor nuklear di loji tenaga tepi laut yang dikendalikan oleh Tokyo Electric Power Company Holdings Inc mengalami leburan selepas bencana alam pada Mac 2011, yang mengakibatkan pelepasan besar bahan radioaktif ke udara dan pencemaran tanah di kawasan sekitar.
-- BERNAMA