KUALA LUMPUR: Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) menjangkakan terdapat peningkatan trafik di lebuh raya utama terutamanya bagi pengguna lebuh raya yang menuju ke arah Pantai Timur, Utara dan Selatan.

Menurut LLM dalam satu kenyataan, dianggarkan sebanyak 2.55 juta kenderaan sehari akan menggunakan lebuh raya utama pada hari-hari puncak sempena Hari Natal.

"Daripada jumlah ini, sebanyak 2.12 juta kenderaan akan menggunakan lebuh raya di bawah Kumpulan PLUS.

"Manakala, Lebuhraya KL – Karak lebih 188,000, Lebuhraya Pantai Timur Fasa 1 (87,000), Lebuhraya Pantai Timur Fasa 2 (39,000) dan Lebuhraya Persisiran Pantai Barat (WCE) (115,000)," katanya pada Sabtu.

Mengulas lanjut, LLM berkata bagi memastikan kelancaran trafik sepanjang cuti perayaan Hari Natal, pihaknya telah mengarahkan kesemua Syarikat Konsesi Lebuh Raya untuk melakukan persediaan
rapi agar perjalanan pengguna lebuh raya adalah selamat dan lancar sepanjang tempoh berkenaan.

"Antara langkah-langkah yang diambil adalah syarikat Konsesi lebuh raya tidak dibenarkan melaksanakan sebarang penutupan lorong lebuh raya kecuali bagi kes dan kerja kecemasan bermula pada 20 Disember 2024 hingga 2 Januari 2025 dan mengaktifkan laluan ‘smart lane’ di lokasi-lokasi yang telah dikenalpasti di Lebuhraya PLUS.

"Selain itu, LLM akan memastikan pengoperasian lebuh raya dalam keadaan baik dan semua kemudahan dapat berfungsi sepanjang tempoh tersebut terutamanya di Kawasan Rehat & Rawat serta Hentian Sebelah demi keselesaan dan keselamatan pengguna lebuh raya.

"LLM juga memastikan sistem kutipan tol berfungsi dengan baik bagi mengelakkan kesesakan di plaza tol, selain penambahan lorong tol sementara di beberapa plaza tol yang dikenalpasti mempunyai trafik yang tinggi serta menyediakan kemudahan tambahan bagi tempat letak kereta dan tandas mudah alih di beberapa Kawasan rehat dan rawat (R&R) di sepanjang Lebuhraya Utara Selatan, Lebuhraya KL Karak dan Lebuhraya Pantai Timur 1.

"LLM turut meningkatkan bilangan petugas untuk memastikan kebersihan tandas dan memastikan kecukupan bekalan air serta bekalan minyak di stesen-stesen minyak dengan mendapatkan kerjasama daripada pengusaha stesen dan syarikat pembekal minyak demi keselesaan penguna lebuh raya," ujarnya.