TOKYO: Kira-kira 17,034 warga emas yang tinggal bersendirian di Jepun meninggal dunia di rumah antara Januari dan Mac, menurut tinjauan oleh Agensi Polis Negara (NPA) Jepun, lapor Jiji Press.

Berdasarkan data itu, jumlah kematian sedemikian pada tahun 2024 dianggarkan mampu mencapai kira-kira 68,000 orang.

NPA menjalankan tinjauan itu buat kali pertama di tengah-tengah perbincangan kerajaan yang berterusan mengenai kesunyian dan isolasi.

Tinjauan itu meliputi 60,466 individu yang meninggal dunia dan diuruskan oleh polis dalam tempoh tiga bulan pertama tahun ini.

Daripada jumlah itu, 21,716 adalah orang yang tinggal bersendirian, termasuk mereka yang meninggal dunia akibat bunuh diri.

Mengikut kumpulan umur, individu berusia 65 tahun ke atas menyumbang hampir 80 peratus daripada 21,716 kes, termasuk 2,080 orang yang berusia antara 65 hingga 69 tahun, 3,204 antara 70 hingga 74 tahun, 3,480 antara 75 hingga 79 tahun, 3,348 antara 80 hingga 84 tahun dan 4,922 yang berusia 85 tahun ke atas.

-- BERNAMA