JAKARTA:Jangkitan baharu COVID-19 di Indonesia terus meningkat dan keadaan kelihatan tambah membimbangkan apabila buat kali pertama kali jumlah kes baharu harian yang direkodkan adalah melebihi 10,000 kes.

Menurut data yang disiarkan di laman rasmi pemerintah Indonesia berkenaan COVID-19, covid19.go.id. hari ini, kes positif baharu COVID-19 bagi tempoh 24 jam itu berjumlah 10,617 kes, menjadikan kes keseluruhan di republik itu kini berjumlah 808,340 kes.

Bagi tempoh pukul 12 tengah hari semalam sehingga 12 tengah hari ini juga, 233 lagi kematian berlaku, menjadikan kematian keseluruhan akibat virus itu kini meningkat kepada 23,753 orang.

Provinsi Jakarta masih mencatatkan jumlah kes positif tertinggi iaitu 200,658 kes, dengan tambahan 2,959 kes baharu dalam tempoh 24 jam.

Sementara itu laman twitter Badan Nasional Pengurusan Bencana Indonesia (BNPB), menyatakan pemerintah Indonesia akan menguatkuasakan Pembatasan Kegiatan Masyarakat (PKM) di hampir seluruh pulau Jawa dan Bali, bermula 11 Jan hingga 25 Jan ini, yang antaranya bertujuan mengawal kegiatan sosio-ekonomi dan pergerakan merentasi provinsi atau wilayah, bagi mengekang penularan virus itu.

-- BERNAMA