SEORANG pegawai kanan Arab Saudi telah memberikan maklumat tambahan baharu berhubung kes wartawan terkenal, Jamal Khashoggi.

Jelasnya, ketika kes kehilangan Khashoggi mendapat perhatian banyak pihak, kerajaan pada masa itu menerima maklumat palsu yang dilaporkan secara dalaman.

"Sebaik sahaja laporan awal itu didapati mencurigakan, Riyadh telah melancarkan siasatan dalaman dan enggan memberikan sebarang kenyataan tentang isu tersebut," katanya yang memaklumkan siasatan masih dijalankan.


Ketika ditanya berhubung dakwaan Khashoggi telah didera dan dipancung, pegawai terbabit menyatakan keputusan siasatan awal mendapati ia adalah tidak benar.

Selama dua minggu, Saudi menafikan sebarang penglibatan dalam kes kehilangan Khashoggi, 59 tahun.

Bagaimanapun, pada pagi Sabtu lalu, ia mengesahkan pengkritik lantang Putera Mahkota terbabit terbunuh dalam pergaduhan di konsulat Saudi di Istanbul.

BACA: Pembunuhan Jamal Khashoggi satu kezaliman - Dr Mahathir

BACA: Isu pembunuhan Khashoggi: Hubungan Malaysia-Arab Saudi kekal kukuh


Tidak lama selepas itu, seorang lagi pegawai di Riyadh menjelaskan kematian Khashoggi berpunca akibat dicekik kerana pasukan perunding cuba menghalangnya daripada menjerit.

Sumber dari Turki memetik laporan rangkaian berita pula mendakwa mayat kolumnis akhbar The Washington Post itu telah dikerat-kerat beberapa bahagian.

Selain itu, ada laporan mendakwa mayatnya dibalut dalam karpet dan diberikan kepada 'koperator tempatan' untuk dilupuskan.

Dalam perkembangan terbaharu, seramai 28 kakitangan di Konsulat Saudi di Istanbul telah disoal siasat pihak berkuasa Turki.

Cuba pujuk Khashoggi pulang ke Saudi?

Berdasarkan dokumen risikan dalaman yang dikemukakan pegawai Saudi kepada agensi berita Reuters menunjukkan inisiatif untuk membawa pulang penentang dan salah seorang daripadanya adalah Khashoggi.

Pegawai tersebut juga menunjukkan bukti mereka terlibat adalah sebuah pasukan terdiri daripada 15 individu selain laporan awal siasatan dalaman.

BACA: Polis Turki jumpa 'bukti' Jamal Khashoggi dibunuh

BACA: Misteri kehilangan Jamal Khashoggi: Saudi tolak ancaman negara Barat


Difahamkan, kerajaan Saudi cuba meyakinkan Khashoggi untuk kembali ke Riyadh dari Washington yang didiami sejak setahun lalu sebagai sebahagian daripada kempen untuk mengelakkan penentang Saudi daripada direkrut oleh musuh negara itu.

Ketika itu, Timbalan Ketua Perisikan Umum, Ahmed al-Asiri bersama 15 individu dari unit risikan dan pasukan keselamatan terbang ke Istanbul untuk bertemu Khashoggi di konsulat terbabit.

"Terdapat perintah tetap untuk berunding dengan penentang bagi membawa pulang secara aman yang memberi mereka kuasa untuk bertindak.

"Asiri adalah salah seorang yang membentuk pasukan itu dan meminta anggota yang bekerja dengan bekas penasihat mahkamah diraja, Saud al-Qahtani serta individu yang mengenali Khashoggi ketika beliau bekerja di kedutaan di London," jelas pegawai itu.

BACA: Tunang Khashoggi diberi perlindungan polis

BACA: Arab Saudi sahkan wartawan kanan, Jamal Khashoggi mati dibunuh


Menurutnya, al-Qahtani telah menugaskan salah seorang kakitangannya untuk melakukan rundingan tersebut.

Dicekik hingga mati?

Menurut laporan itu, Khashoggi mungkin ditahan di sebuah rumah di luar Istanbul sehingga tempoh ditetapkan dan kemudian membebaskannya jika beliau masih berkeras untuk tidak kembali ke Saudi.

Ia bagaimanapun tidak berlaku seperti yang dirancang dan mereka turut menggunakan kekerasan.

Khashoggi dibawa ke pejabat konsul umum di mana pegawai bernama Maher Mutreb bercakap dengannya tentang perintah tetap kerajaan untuk kembali ke Riyadh.

Beliau menolak dan memberitahu seseorang (tunangnya) sedang menunggu di luar premis itu dan akan menghubungi pihak berkuasa Turki jika dia tidak keluar dalam tempoh sejam.

Situasi semakin tegang apabila Khashoggi mendakwa Mutreb melanggar norma diplomatik dan wartawan terbabit mula meninggikan suara hingga menyebabkan pasukan itu panik lalu bertindak mencekik dan menekup mulutnya

"Mereka cuba menghalang Khashoggi daripada menjerit, namun tindakan itu meragut nyawanya. Niat asal mereka bukan untuk membunuhnya

Tunangnya, Hatice Cengiz berkata, Khashoggi telah menyerahkan dua telefon bimbit miliknya dan memintanya menghubungi pembantu Presiden Recep Tayyip Erdogan jika tidak muncul.

Mayat hilang

Untuk menyembunyikan insiden itu, pasukan terbabit dipercayai memasukkan mayat Khashoggi di dalam karpet dan membawanya keluar menaiki kenderaan konsul sebelum diserahkan kepada 'koperator tempatan' untuk dilupuskan.

Difahamkan, pakar forensik, Salah Tubaigy cuba menghapuskan segala bukti berkaitan kejadian tersebut.

Sementara itu, pegawai Turki percaya pembunuh Khashoggi telah membuang mayatnya di Hutan Belgrad bersebelahan dengan Istanbul sebuah kawasan luar bandar berhampiran bandar Yalova terletak 90 kilometer di selatan Istanbul.

Erdogan akan dedah segalanya

Walaupun Turki telah berhenti menuding jari menyalahkan Saudi atas kejadian itu, penyiasat memaklumkan mereka mempunyai bukti audio dan video yang menunjukkan Khashoggi dibunuh pasukan terdiri daripada agen dari Riyadh di konsulat terbabit.

Selain memperluaskan kawasan siasatan sehingga ke Hutan Belgrad, pihak berkuasa turut melakukan pemeriksaan di konsulat dan kediaman konsul Saudi.

Pada Sabtu, Erdogan yang tidak mahu hubungan antara Ankara dan Riyadh terjejas akibat kejadian menggemparkan masyarakat antarabangsa itu berjanji akan membuka mulut dalam tempoh 48 jam.

"Kami akan membongkar segalanya dengan lebih terperinci di Parlimen," katanya ketika berucap di stesen TV. - Agensi