Syarikat berkenaan ingin memberi penekanan kepada kelestarian kereta elektrik terhadap dua jenama keluarannya itu.
"Pada pertengahan dekad ini, Jaguar akan menjalani perubahan dan menjadi jenama kereta elektrik mewah sepenuhnya dengan reka bentuk baharu serta menggunakan teknologi terkini," syarikat berkenaan memaklumkan dalam satu kenyataan.
Sementara itu Land Rover akan mengeluarkan enam model kereta elektrik baharu dalam lima tahun akan datang dengan model pertama yang dikuasakan elektrik sepenuhnya dijangka pada 2024, kata syarikat itu.
"Pada 2030, jualan Land Rover elektrik dijangka pada 60 peratus manakala Jaguar sebanyak 10 peratus," katanya.
Syarikat berkenaan turut ingin mencapai pengeluaran karbon sifar untuk kesemua produk dan keluarannya pada 2039.
Akhir tahun lepas United Kingdom mengumumkan sekatan terhadap penjualan kereta minyak dan diesel menjelang 2030.
Pengumuman Jaguar itu turut mendapat pujian Perdana Menteri Boris Johnson.
"Berita baik daripada Jaguar Land Rover yang akan bertukar menjadi jenama kereta elektrik sepenuhnya menjelang 2039.
"Contoh terbaik kejuruteraan British menerajui industri bagi memastikan masa depan yang lebih bersih," katanya dalam ciapan di akaun Twitter miliknya.