DAMSYIK: Israel pada malam Rabu melancarkan serangan peluru berpandu ke atas sasaran di Syria, mengakibatkan kerosakan barangan di lapangan terbang antarabangsa di bandar Aleppo dan kem tentera berhampiran ibu negara Damsyik, kata tentera Syria dalam satu kenyataan, lapor Xinhua.

Menurut laporan berita tempatan yang memetik tentera, peluru berpandu Israel yang mengenai lapangan terbang Aleppo datang dari arah seberang Mediterranean.

Hampir sejam kemudian, peluru berpandu yang dilancarkan dari Tasik Tiberias di utara Israel mengenai kem tentera berhampiran Damsyik.

Pertahanan udara Syria berjaya memintas beberapa peluru berpandu yang dilepaskan dari Israel, kata tentera Syria.

Pemantau perang yang berpangkalan di UK, Pemerhati Hak Asasi Manusia Syria, berkata serangan pertama mengenai depot senjata Iran berhampiran lapangan terbang di Aleppo, dan sasaran kedua membedil penempatan tentera di bandar Al-Kiswah, 13 km di selatan Damsyik.

Pemantau perang berkata Israel melepaskan empat peluru berpandu ke arah lapangan terbang dan gudang di sekitarnya, yang dikatakan menyimpan “bekalan peluru berpandu yang menunggu untuk dihantar ke Iran".

-- BERNAMA