TEHRAN: Pemimpin Hamas Ismail Haniyeh disifatkan sebagai individu yang tenang dan tidak mudah mengeluarkan kata-kata keji kepada pihak lawannya iaitu pihak Zionis.

Penasihat Kehormat, Humanitarian Care Malaysia (MyCARE), Profesor Madya Dr Hafidzi Mohd Noor berkongsi pengalaman pertemuan pada 2012 memaklumkan Allahyarham cukup tenang berdepan ujian ketika kehilangan ahli keluarga termasuk kakak, anak-anak dan cucunya.

"Sedikit pun tidak terbit dari mulut beliau kata-kata keji atau hinaan kepada pihak musuh. Sebaliknya beliau memuji Allah SWT dan bersyukur kerana Allah SWT telah mengambil ahli ahli keluarganya sebagai syuhadah.

"Ini merupakan ciri-ciri murni sebagai seorang pemimpin Islam dan sebagai seorang pejuang yang jujur dan ikhlas. Jadi kita menasihati semua khususnya umat Islam supaya jangan berburuk sangka dan terbeli atau terpedaya dengan naratif barat yang cuba menggambarkan atau melukiskan satu gambaran yang sangat negatif supaya seluruh dunia membenci mereka.

"Tetapi sebenarnya tembelang barat dan Israel sudah pecah kerana apa yang berlaku pada hari ini yang merupakan pengganas, yang memusuhi kemanusiaan adalah Israel Zionis dan sekutu-sekutunya di Barat," katanya.

Beliau berkata demikian dalam program Buletin Awani Khas pada Rabu.

Sehubungan itu, beliau berkata, pihaknya mengutuk sekeras-kerasnya pembunuhan tersebut.

Ini kerana pembunuhan Ismail Haniyeh bukanlah pengakhiran, tetapi permulaan baru dalam perjuangan Palestin.

Terdahulu, kumpulan pejuang Palestin Hamas memaklumkan pemimpin mereka itu terbunuh di Tehran, Iran.

Katanya, kumpulan pejuang Islam itu berkabung atas kematian Haniyeh, yang dikatakan terbunuh dalam 'serangan khianat Zionis ke atas kediamannya di Tehran'.