KUALA LUMPUR: Iran mengutuk sekeras-kerasnya serangan rejim Zionis Israel ke atas beberapa lokasi ketenteraannya pada Sabtu dan menegaskan bahawa mereka "berhak dan wajib" untuk mempertahankan diri sambil terus memikul tanggungjawab ke atas keamanan dan keselamatan serantau.

Dalam satu kenyataan, Kementerian Luar Iran menyifatkan serangan itu sebagai pelanggaran terang-terangan terhadap undang-undang antarabangsa dan Piagam Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), khususnya prinsip yang melarang ancaman atau penggunaan kekerasan terhadap integriti wilayah dan kedaulatan negara.

"Seperti yang telah ditegaskan berulang kali oleh pihak berkuasa Republik Islam Iran, berdasarkan hak untuk mempertahankan diri yang sememangnya termaktub dalam Artikel 51 Piagam Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, Republik Islam Iran menganggap dirinya berhak dan wajib mempertahankan diri daripada tindakan pencerobohan luar.

Republik Islam Iran menekankan penggunaan semua keupayaan material dan spiritual rakyat Iran untuk mempertahankan kepentingan keselamatan vitalnya, sambil tetap sedar akan tanggungjawabnya terhadap keamanan dan keselamatan serantau," menurut kenyataan itu.

Kenyataan itu disiarkan di laman rasmi Kementerian Luar di platform X.

Sementara itu, Kementerian Luar Iran turut menekankan keperluan segera untuk menggerakkan komuniti global bagi menghentikan genosid, peperangan, dan pencerobohan rejim Israel ke atas Gaza dan Lubnan, serta mengekang sikap agresif rejim itu.

Ia turut menekankan tanggungjawab individu dan bersama semua negara di rantau ini untuk menjaga keamanan dan kestabilan, serta mengucapkan terima kasih kepada semua negara pencinta keamanan, baik di rantau ini mahupun di luar, yang telah mengutuk tindakan agresif Israel dan mengecam sikap agresif rejim itu.

"Tidak dapat dinafikan, penerusan pendudukan, tindakan haram, dan jenayah oleh rejim Zionis di rantau ini, terutamanya genosid terhadap rakyat Palestin dan pencerobohan ke atas Lubnan, kekal sebagai punca utama ketegangan dan ketidakstabilan di rantau ini.

"Tindakan ini diteruskan dengan sokongan ketenteraan dan politik yang menyeluruh daripada Amerika Syarikat dan beberapa negara Barat lain," menurut kenyataan itu.

-- BERNAMA