JAKARTA: Indonesia kini bersiap sedia untuk menangani pencemaran udara menjelang sidang kemuncak ke-43 ASEAN yang dijadualkan berlangsung di Jakarta awal bulan depan.

Pencemaran udara semasa yang teruk di Jakarta, antara kawasan paling tercemar di dunia, menjurus kepada peningkatan masalah kesihatan dalam kalangan penduduk.

Kes jangkitan pernafasan akut meningkat sejak awal tahun ini disebabkan oleh pencemaran udara, lapor Xinhua memetik sidang media Kementerian Kesihatan pada Isnin.

Ketua kawalan penyakit pernafasan kementerian itu, Agus Dwi Susanto,berkata pada 2022 purata kes bulanan berkaitan jangkitan pernafasan akut di Jakarta dan bandar-bandar sekitarnya kurang daripada 100,000.

"Namun, antara Januari dan bulan ini, angkanya secara mengejut melebihi 100,000," katanya sambil menambah pada Ogos sahaja pejabatnya merekodkan kira-kira 200,000 kes.

Oleh itu, Susanto menggesa orang ramai yang mempunyai aktiviti luar dengan tempoh lebih lapan jam supaya sentiasa memakai pelitup muka antipencemaran.

Minggu lepas, penyiasat di Kementerian Alam Sekitar dan Perhutanan negara mengambil tindakan undang-undang terhadap individu dan perniagaan yang menyumbang kepada pencemaran udara di bandar itu.

Sementara itu, pentadbiran Jakarta dan polis bandar baru-baru ini menghantar trak bomba untuk menyembur air di jalan-jalan utama di seluruh ibu negara bagi membersihkan habuk dan bahan pencemaran lain yang menyumbang kepada pencemaran udara.

Pentadbiran bandar juga menggesa institusi kerajaan serta perniagaan swasta supaya melaksanakan skim bekerja di rumah terutama semasa sidang kemuncak itu kelak.

Pada Isnin, Indonesia melancarkan kereta api transit aliran ringan autonominya untuk mengurangkan kesesakan lalu lintas dan pencemaran di Jakarta yang berpenduduk ramai.

-- BERNAMA