PEMIMPIN Belarus menandatangani Rang Undang-Undang (RUU) memperkenalkan hukuman mati bagi pegawai negara dan anggota tentera yang disabitkan dengan kesalahan pengkhianatan tahap tinggi.

Pindaan kepada kanun jenayah negara itu disahkan oleh Presiden Belarus, Alexander Lukashenko.

Antara lain ia menetapkan hukuman mati bagi pegawai dan anggota tentera yang menyebabkan kerosakan tidak boleh diperbaiki kepada keselamatan Belarus.

Undang-undang baharu itu adalah sebahagian daripada pindaan kanun jenayah yang bertujuan untuk mengukuhkan perjuangan Belarus menentang jenayah pengganas dan berteraskan sikap memusuhi negara.

RUU ditandatangani Lukashenko memperuntukkan hukuman bagi propaganda keganasan, mencemarkan nama baik angkatan tentera dan unit separa tentera.

Selain itu, undang-undang terbabit merangkumi pelanggaran peraturan melindungi rahsia negara, mempermainkan undang-undang serta menindas sekutu utama Belarus, Rusia.

Rusia meluluskan undang-undang yang sama selepas ia melancarkan operasi khas ketenteraan ke atas Ukraine lebih setahun lalu.

Belarus tidak menghantar tenteranya ke Ukraine, tetapi membenarkan Rusia menggunakan wilayahnya sebagai tapak pelancaran operasinya pada Februari 2022.

Selain itu, belarus turut membenarkan pesawat pejuang dan dron Rusia menggunakan ruang udaranya untuk serangan ke atas Ukraine selain mengekalkan tentera dan senjatanya di wilayah Belarus.

Pengesahan undang-undang baharu itu susulan serangan ke atas pesawat pejuang Rusia di pangkalan udara di luar ibu negara Belarus pada 26 Februari lalu.

Belarus adalah satu-satunya negara di Eropah yang tidak melarang hukuman mati bagi pesalah yang disabitkan dengan pembunuhan atau keganasan.


Hukuman mati menanti pengkhianat negara di Belarus