Tertuduh, Mohd Saffuan Nor Rahim, 43, mengangguk faham selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Majistret Siti Nora Sharif.
Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan kerana kes di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.
Mengikut kertas pertuduhan, dia didakwa telah mengedar dadah berbahaya jenis heroin seberat 19,246 gram, di kawasan parkir kereta Persiaran Meru Point, Taman Seri Meru, Ipoh kira-kira jam 11.20 pagi, 21 Januari lalu.
Duda tiga anak itu didakwa mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum di bawah 39B(2) akta sama yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara seumur hidup dan jika tidak dihukum dengan hukuman mati, hendaklah dihukum tidak kurang daripada 12 sebatan.
Tiada jaminan ditawarkan dan mahkamah menetapkaj 28 April depan sebagai tarik sebutan semula kes.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Nur Aqilah Syaza Ariffin manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
Pada 23 Januari lalu, media melaporkan seorang kelindan lori dicekup polis ketika sedang mengangkat bungkusan dadah seberat 19.2 kilogram dalam sebuah kereta jenis Perodua Bezza.
Tangkapan dibuat terhadap sekitar jam 11.20 pagi ketika suspek dipercayai sedang menunggu pembeli dan kesemua dadah yang dirampas bernilai RM220,000.