KUALA LUMPUR: China akan terus bekerjasama dengan Malaysia dalam meningkatkan persahabatan dan hubungan dua hala untuk manfaat bersama dan masa depan yang lebih cerah bagi kedua-dua negara, kata Perdana Menteri China, Li Qiang.


Ringkasan AI
  • Perdana Menteri China Li Qiang menegaskan komitmen untuk meningkatkan persahabatan dan hubungan dua hala dengan Malaysia, memajukan pembangunan bersama untuk manfaat kedua-dua negara.
  • Li menggariskan empat cadangan untuk memperkukuh hubungan: meningkatkan persahabatan tradisional, menyelaraskan strategi pembangunan, memperdalam pertukaran budaya, dan mengukuhkan solidariti di arena antarabangsa.
  • Hubungan diplomatik Malaysia-China telah kukuh selama 50 tahun, dengan China menjadi rakan dagang terbesar Malaysia selama 15 tahun berturut-turut, dan lawatan rasmi Li bertepatan dengan ulang tahun ke-50 hubungan diplomatik ini.


Berucap pada majlis makan malam bagi memperingati ulang tahun ke-50 hubungan dua hala Malaysia-China yang turut dihadiri Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim di sini, pada Rabu, Li berkata hubungan ini adalah contoh terbaik hubungan antara negara di rantau ini.

Li menekankan pencapaian ini sebagai titik permulaan baharu bagi kedua-dua negara untuk merangka masa depan bersama yang lebih kukuh dan makmur.

"Sama ada pada masa lepas, sekarang atau masa depan, persahabatan tetap menjadi ciri utama hubungan Malaysia-China. Kami telah membawa hubungan ini ke titik permulaan baharu dan kami berkongsi aspirasi untuk meneruskannya kepada generasi akan datang," katanya.

Sehubungan itu, Li menggariskan empat cadangan yang boleh difokuskan oleh kedua-dua negara untuk membina hubungan yang lebih kukuh ke hadapan.

Pertama, beliau berkata adalah untuk meningkatkan persahabatan tradisional dan mengukuhkan asas bagi hubungan dua hala.

"Penting untuk mengekalkan kepada arah yang betul dalam membangunkan hubungan dua hala ini, menghormati kepentingan teras dan perkara yang menjadi perhatian utama masing-masing, membina kepercayaan politik yang lebih kukuh, dan meneruskan kerjasama yang luas dalam konteks membina komuniti China-Malaysia dengan masa depan bersama," katanya.

Kedua, Li berkata terdapat keperluan untuk menyelaraskan strategi pembangunan kedua-dua negara sambil memperluaskan kepentingan bersama.

"Penting untuk membangunkan sinergi yang lebih besar antara Inisiatif Jalur dan Laluan dan Kerangka Ekonomi Madani, meningkatkan perdagangan dalam produk pertanian dan lain-lain, dan mencungkil potensi kerjasama dalam bidang baharu seperti tenaga hijau dan pembuatan canggih, bagi memberikan lebih banyak manfaat kepada rakyat kedua-dua negara," katanya.

Cadangan ketiga, Perdana Menteri China menekankan keperluan untuk memperdalam pertukaran dan pembelajaran bersama bagi menggalakkan lagi pemahaman antara rakyat kedua-dua negara termasuk dalam bidang seni dan budaya, pelancongan, pendidikan dan sukan.

Keempat, Li mencadangkan untuk mengukuhkan solidariti dan koordinasi antara China dan Malaysia di arena antarabangsa bagi menangani cabaran global bersama-sama.

"China bersedia untuk bekerjasama dengan Malaysia untuk menyokong dunia multipolar yang sama rata dan teratur serta globalisasi ekonomi yang bermanfaat dan sejagat, serta bersama-sama membina rumah yang aman, selamat dan terjamin, makmur, indah, dengan nilai persahabatan dan harmoni di Asia.

Li, yang berada di sini untuk lawatan rasmi selama tiga hari sejak Selasa, turut mengimbas kembali bahawa 50 tahun lepas, Malaysia telah menahan tekanan Perang Dingin untuk menjalin hubungan rasmi dengan China, menjadi peneraju dalam kalangan negara ASEAN.

Hari ini hubungan itu kekal kukuh dalam semua bidang, dengan kedua-dua negara terus saling menyokong dalam masa sukar sambil menekankan bahawa hubungan berkenaan berdasarkan kerjasama menang-menang.

"Sepanjang 50 tahun hubungan diplomatik, China dan Malaysia sentiasa melayan satu sama lain dengan baik dan ikhlas, dan kekal sebagai jiran yang baik, sahabat yang baik dan rakan kongsi yang baik.

Kedua-dua negara kita telah memberikan sokongan yang kukuh dalam meneroka laluan pembangunan yang sesuai dengan keadaan negara kita. Hubungan kita adalah contoh terbaik hubungan antara negara di rantau ini," katanya.

Li juga berkata China telah menjadi rakan dagang terbesar Malaysia selama 15 tahun berturut-turut.

Beliau menekankan bahawa buah-buahan dari Malaysia seperti durian dan manggis terkenal dalam kalangan pengguna China.

"Menerusi kerjasama yang saling memberikan manfaat, kedua-dua negara kita telah mencapai pertumbuhan dan membina hubungan ekonomi yang semakin erat, yang telah mencipta dorongan kuat untuk pemodenan masing-masing," katanya.

Pada 2023, China kekal sebagai rakan dagang terbesar Malaysia selama 15 tahun berturut-turut sejak 2009, dengan jumlah perdagangan sebanyak RM450.84 bilion (US$98.90 bilion).

Hubungan diplomatik Malaysia dengan China telah diperkukuh sejak peningkatan hubungan dua hala kepada Perkongsian Strategik Komprehensif pada 2013.

"Pada masa akan datang, China akan terus melagkah maju bersama-sama Malaysia ke arah pemodenan, memperjuangkan persahabatan sebagai tema utama dalam hubungan dua hala kita, dan menulis bab baharu bagi masa depan bersama," katanya.

Ini adalah lawatan rasmi pertama Li ke Malaysia sejak memegang jawatan itu pada Mac 2023.

Lawatan ini berbetulan dengan ulang tahun ke-50 penubuhan hubungan diplomatik antara Malaysia dan China, berikutan penandatanganan Kenyataan Bersama antara Perdana Menteri kedua Tun Abdul Razak Hussein dan Perdana Menteri ketika itu Chou En Lai pada 31 Mei 1974.

-- BERNAMA