Sebuah hotel mewah di Dubai, Emiriah Arab Bersatu terbakar malam tadi, beberapa jam sebelum sambutan tahun baru 2016 bermula di negara itu.

CNN.com melaporkan kebakaran bermula di tingkat 20 Hotel Address Downtown, yang terletak berhampiran bangunan tertinggi di dunia, Burj Al-Khalifa.

Punca kebakaran setakat ini masih disiasat.

Tweet dari Pejabat Media Dubai menyatakan kira-kira 16 orang dilaporkan cedera, dan kesemua mereka sedang menerima rawatan.

Saksi yang dikenali sebagai Raphael Slama berkata kebakaran bermula kira-kira jam 9.30 malam dan api mula merebak ke tingkat atas hotel itu.

Seorang jurukamera AFP yang berada di lokasi kejadian, berkata, kebakaran bermula di tingkat yang terletak di tengah hotel dan api mula merebak ke tingkat bawah sebelum menjilat beberapa tingkat atas bangunan itu."

"Orang ramai yang berada di kawasan kejadian panik dan mula bertempiaran melarikan diri," katanya.

Seorang pemilik restoran makanan India di Dubai yang berada berdekatan hotel itu memberitahu AFP, 'kami melihat api mula merebak di bahagian atas hotel sebelum tengah malam dan orang ramai mula berteriak dan berlari dari lokasi kejadian itu."

Dubai menjadi antara lokasi tumpuan pelancong untuk sambutan tahun baru, dengan pertunjukan bunga api di bandaraya itu disifatkan antara yang paling menarik di dunia.