MEMELIHARA kucing, arnab atau haiwan comel yang lain merupakan hobi biasa bagi penggemar-penggemar haiwan peliharaan yang comel.

Secara lazimnya, kecomelan dan sifat manja yang dimiliki haiwan berkenaan pastinya sangat menarik perhatian bagi sesiapa yang memandangnya.

Tetapi lain ceritanya buat seorang gadis yang mempunyai hobi unik dari Timur Jawa ini kerana gemar bermain dengan spesies berbahaya seperti ulat bulu, lipan dan kala jengking.

Eli Yulianti, 23 tahun mengaku dia tidak pernah merasa geli atau takut akan haiwan tersebut, bahkan sering bermain dengan ‘rakan-rakannya’ itu di waktu lapang.

Dia turut sering meletakkan ulat bulu kesayangannya itu di wajahnya.

Gadis yang dikenali sebagai Yuli ini berkata, dia tidak pernah mendapat masalah serius akibat bermain dengan haiwan-haiwan seperti itu walaupun telah berkali-kali digigit kerana baginya ia adalah perkara biasa, lapor Kompas.com

Dia turut mendedahkan akan risiko yang dihadapinya sewaktu kecil, disengat lipan sehingga bengkak selama lima hari selain pernah digigit kucing di pipi dan meningggalkan kesan sehingga hari ini.

Yuli berkata lagi, waktu kecilnya dipenuhi dengan aktiviti luar rumah, bermain di kebun, panjat pokok, dan bermain dengan lebah sehingga digelar ‘badung’ (nakal) oleh orang tuanya.

Dia juga mengaku pernah terjatuh sehingga patah tulang tetapi tidak diberitahu orang tuanya sehingga ianya pulih sendiri.

Luka yang terhasil akibat terkena benda tajam juga menjadi kebiasaan buat gadis ini, malah dia hanya menggunakan bahan dari alam semula jadi demi merawat lukanya sendiri.

“Jika pakai telur labah-labah, luka akan cepat kering. Namun jika ditelan, lima hari pun dah sembuh," ujar Yuli berkongsi tip.