GOMA: Lava daripada gunung berapi yang meletus di Republik Kongo mengalir sehingga Lapangan Terbang Goma, kata seorang ahli vulkanologi pada Sabtu ketika pihak berkuasa memulakan proses pemindahan penduduk di bandar berkenaan.

Dario Tedesco, ahli vulkanologi yang berpusat di Goma, mengatakan terdapat rekahan baharu di gunung berapi berkenaan yang menyebabkan aliran lava bergerak ke selatan menuju Goma.


Nyiragongo, salah satu gunung berapi paling aktif di dunia, meletus pada awal petang hari Sabtu, menyebabkan langit di Goma, sebuah bandar tepi tasik dengan sekitar 2 juta penduduk, bertukar kepada warna merah.

Letusan pada 2002 mengorbankan 250 nyawa serta menyebabkan lebih 120,000 individu hilang tempat tinggal.

Menurut laporan Reuters, letusan tersebut turut menyebabkan penduduk terputus bekalan elektrik.


"Proses pemindahan penduduk telah dimulakan.

"Ketika ini pihak kerajaan sedang membincangkan langkah-langkah seterusnya yang perlu diambil," kata jurucakap kerajaan, Patrick Muyaya dalam catatan terbaharu di akaun Twitter rasmi miliknya.