Perasaan sedih bagaimanapun diketepikan seketika sebaik sahaja melihat rombongan dari Malaysia yang hadir membawa bantuan.
Kedukaan mereka disorok jauh dan semangat meraikan kunjungan saudara sesama Islam pula jelas terpancar pada wajah.
Perasaan penat rombongan misi kemanusiaan dari Malaysia terhakis sejurus melihat riak wajah orang tempatan yang menyambut ketibaan kami dengan senyuman di kawasan kediaman di Kartal, Nurdagi.
Untuk tiba di Kartal, perjalanan berliku terpaksa diharungi berikutan kedudukan geografinya yang berada di kawasan pergunungan.
Namun, suasana menjadi cukup syahdu apabila kami menjejakkan kaki ke kawasan kediaman mereka kerana gambaran yang diberikan sebelum ini ternyata berbeza.
Sekalipun sedang berhadapan ujian yang dashyat, namun, jiwa mereka sangat besar menerima kehadiran tetamu – orang asing yang tidak pernah dikenali.
Kedukaan langsung tidak kelihatan pada air muka mereka, sebaliknya, besar sungguh hati mereka mahu meraikan kami dengan hidangan teh panas bagi memberi kelegaan berikutan cuaca sejuk.
Bagi Jumaah Yizman, tiada apa yang menggembirakan hatinya ketika itu selain melihat kehadiran rakyat Malaysia yang sudi menghulur bantuan.
“Saya berbesar hati dan bersyukur dengan kehadiran tetamu dari Malaysia… kita sememangnya saudara sesama Islam,” katanya ketika ditemui Astro AWANI.
Sekalipun tidak banyak yang dapat didasari dari lubuk hati Jumaah, namun, dapat dilihat
betapa kuatnya emosi beliau dalam menerima ketentuan takdir Ilahi.
Layanan cukup istimewa itu mencetus rasa hiba saat langkah kaki mula untuk meninggalkan penempatan Jumaah.
Riak wajah warga emas yang semakin dimamah usia turut mengundang sebak apabila terpaksa meninggalkan keluarga itu yang terpaksa melawan kesejukan.
Barangkali, ini mungkin pertemuan pertama dan terakhir buat penulis memandangkan untuk tiba ke daerah itu, perjalanan beribu batu perlu diharungi.
Sejujurnya, penulis sendiri tidak mampu mengawal kesedihan, namun, pertemuan dengan Jumaah membekalkan kenangan paling manis untuk dibawa pulang ke Malaysia kelak.
Kepulangan kami juga tidak kosong, kerana kucupan dan doa yang dititipkan Jumaah dan masyarakat di Kartal membuatkan hati penulis tekad untuk menjadikan silaturrahim yang terjalin dalam masa singkat itu kekal abadi di lubuk hati.
Sementara ketika ini, doa yang tidak putus akan sentiasa dipanjatkan kepada Yang Maha Esa mohon diberikan Jumaah dan ribuan lagi mangsa gempa bumi di Turkiye dan Syria diberi kekuatan untuk menghadapi dugaan serta dipermudahkan segala kesulitan mereka.
* Wartawan penyiaran Astro AWANI, Hilmi Malik berada di Gaziantep, Turkiye untuk misi kemanusiaan bersama NGO, Global Peace Mission.