GAZIENTEP: Gempa bumi yang melanda bumi Turkiye tidak dapat dinafikan meninggalkan kesan trauma yang mendalam dalam kalangan mangsa.

Buat ramai mangsa, air mata mereka akan mudah berlinang setiap kali mengenangkan detik berlakunya peristiwa hitam itu.

Minda ramai dalam kalangan mangsa juga penuh kebuntuan setiap kali memikirkan nasib mendatang serta aset-aset yang telah musnah.

Menceritakan pengalaman yang sukar dilupakan itu, salah seorang mangsa gempa bumi Turkiye, Hasbi Ansar terlalu mudah menitiskan air mata apatah lagi apabila mengenangkan nasib keluarganya untuk meneruskan kehidupan selepas ini.

“Saya sedang tidur ketika kejadian sebelum dengar tangisan anak-anak… saya masih bersyukur kerana tiada yang terkorban.

“Aset yang saya ada semua sudah berada di bawah runtuhan… saya tak pasti apa untuk berikan anak-anak saya makan selepas ini,” katanya ketika ditemui Astro AWANI.

Kerajaan Turkiye turut bertindak merobohkan kebanyakan bangunan berikutan strukturnya yang tidak lagi kukuh. - Foto Astro AWANI


Hasbi yang tinggal bersama keluarganya di Kartal, Nurdagi tinggal sehelai sepinggang susulan gempa yang amat dahsyat.

Sudah jatuh ditimpa tangga, itulah nasib dirinya apabila terpaksa juga bergelut dengan cuaca ekstrem dalam keadaan kelengkapan yang tidak seberapa.

Rutin hariannya cuma menggunakan sekadar apa yang ada untuk meneruskan kelangsungan hidup.

Dalam pada itu, Hasbi menganggap bencana yang berlaku sebagai 'petanda' kemarahan tuhan yang maha esa.



Reda dengan apa yang berlaku, Hasbi bagaimanapun berlapang dada dengan ujian yang terpaksa ditempuh keluarganya meskipun ia bukan perkara yang mudah.

“Jika kita beribadah kepada Allah dengan sebetulnya maka perkara ini tidak akan berlaku.

“Disebabkan hubungan kita dengan Allah tidak dipelihara maka terjadilah bencana seumpama ini.

“Moga Allah terima semua mangsa yang syahid dalam bencana ini… insyaAllah,” ujarnya lagi.
Turkiye, GPM

Kartal merupakan kawasan pergunungan yang agak jauh di pedalaman selain laluan menuju ke kawasan itu juga agak berliku. - Foto Astro AWANI

Kartal merupakan kawasan pergunungan yang agak jauh di pedalaman selain laluan menuju ke kawasan itu juga agak berliku.

Penempatan yang penuh diselubungi salji membuatkan hati bertambah terusik melihat keadaan warga emas yang terpaksa menahan sejuk.

Operasi mencari dan menyelamat mangsa masih giat dijalankan membabitkan sebahagian besar kawasan di Gazientep.

Sejarah hitam yang berlaku di Turkiye ini merupakan rekod terburuk berlaku sejak kali terakhirnya tercetus pada 20 tahun lalu.- Foto Astro AWANI

Selain itu, kerajaan Turkiye turut bertindak merobohkan kebanyakan bangunan berikutan strukturnya yang tidak lagi kukuh.

Sehingga kini, angka korban susulan gempa bumi dai Turkiye dan Syria telah melepasi 40,000 orang dan jumlah itu dijangka terus meningkat kerana masih ramai mangsa yang dipercayai terperangkap.


*Wartawan penyiaran Astro AWANI, Hilmi Malik berada di Gaziantep, Turkiye untuk misi kemanusiaan bersama NGO, Global Peace Mission