ANKARA: Seorang petinju wanita sanggup melelong tali pinggang kejohanan yang dimenanginya demi membantu mangsa gempa bumi di Turkiye.

Juara gelaran Majlis Tinju Dunia (WBC) 2022, Seren Ay Cetin, 26, berkata dia akan meletakkan tali pinggang gelaran WBC Silver Bantamweight miliknya untuk lelongan.

Dia berharap dapat menjual tali pinggang kemenangannya itu pada harga sekurang-kurangnya satu juta lira Turkiye (kira-kira RM224,300).


Dalam satu hantaran di Twitter, Seren juga berjanji untuk memberikan semua hasil kepada Ahbap, sebuah pertubuhan bukan kerajaan Turkiye yang membantu mangsa gempa bumi.


Cetin merupakan petinju wanita Turkiye pertama yang memenangi gelaran WBC selepas menewaskan Eva Voraberger dari Austria, juara dunia WBC dua kali, dalam pertarungan yang diadakan Mei lalu di Istanbul.