PIHAK berkuasa di Turkiye telah mengeluarkan 113 waran tangkap berkaitan pembinaan bangunan yang runtuh dalam gempa bumi pada Isnin lepas.

Setakat ini sejumlah 12 individu telah ditahan, termasuk kontraktor binaan, kata polis.

Polis dijangka membuat lebih banyak tangkapan tidak lama lagi.

Gempa Bumi Turkiye | Turkiye tahan 12 orang berhubung runtuhan bangunan

Sementara itu usaha menyelamat mangsa terjejas telah tergendala di beberapa kawasan akibat pergolakan yang tercetus di selatan Turkiye.

Angka korban rasmi di Turkiye dan Syria telah meningkat kepada lebih 33,000 orang.

Beberapa tahun sebelum ini, pakar telah memberi amaran bangunan baharu yang dibina di Turkiye tidak selamat.

Mereka mendakwa tindakan rasuah yang diamalkan pihak berkuasa dan polisi kerajaan membuka ruang kepada pihak kontraktor mengabaikan peraturan keselamatan terutamanya di kawasan yang sering dilanda gempa bumi.

Ribuan bangunan runtuh dalam kejadian gempa bumi Isnin lepas dan ini menimbulkan persoalan jika insiden itu diburukkan lagi dengan kegagalan manusia.

BACA: Gempa bumi Turkiye: Arkitek ditahan cuba larikan diri selepas apartmen mewah runtuh

Turkiye akan menghadapi pilihan raya tidak lama lagi dan kejadian gempa bumi ini dikatakan akan menyebabkan kejatuhan Presiden Recep Tayyip Erodogan selepas 20 tahun memegang pucuk pimpinan.

Di kebanyakan kawasan di selatan Turkiye dan Syria, jutaan penduduk yang hilang tempat tinggal kini terpaksa mengharungi cuaca sejuk beku.

Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) memberi amaran lebih 800,000 individu tidak mendapat makanan yang mencukupi.

Gempa pada Isnin lepas telah disifatkan sebagai yang terburuk dalam tempoh 100 tahun.

Sempadan Turkiye-Armenia juga dibuka pada Sabtu, pertama kali sejak 35 tahun yang lalu, bagi membolehkan bantuan kemanusiaan dihantar kepada mereka yang terjejas akibat gempa bumi.