MOSCOW: Gempa bumi berukuran 7.0 magnitud melanda pantai Semenanjung Kamchatka di Timur Jauh Rusia pada Sabtu, lapor Sputnik memetik Akademi Sains Rusia (RAS).

"Gempa bumi itu berlaku pada kedalaman 6 kilometer (km) dengan magnitud 7.0. Pusat gempa terletak 108 kilometer (67 batu) dari bandar Petropavlovsk-Kamchatskiy," menurut akademi berkenaan.

RAS berkata satu lagi gempa bumi dengan magnitud 4.7 berlaku 116 km dari Petropavlovsk-Kamchatskiy tidak lama kemudian.

Kementerian Situasi Kecemasan Rusia (EMERCOM) berkata gempa pertama dirasai di seluruh daerah bandar Petropavlovsk-Kamchatskiy.

Menurut EMERCOM, pasukan penyelamat kini sedang memeriksa bangunan dan tiada ancaman tsunami susulan gempa bumi itu.

Gabenor Wilayah Kamchatka Vladimir Solodov berkata tiada gegaran susulan besar dijangka berlaku.

-- BERNAMA